PARIS: Selepas berdekad-dekad perbincangan, pakar penjaga masa rasmi dunia kini memilih menggantikan cara lama menyelaraskan waktu mengikut saat lompat yang rumit dengan kaedah baharu dikenali sebagai ‘jam lompat’.
Wakil dari 69 negara mengundi pada Khamis dalam persidangan Biro Timbang dan Sukat Antarabangsa di Perancis, badan yang memastikan dunia menggunakan piawaian seragam bagi masa, berat, jarak dan ukuran lain.
Keputusan untuk memperkenalkan jam lompat mulai tahun depan bertujuan mengurangkan risiko gangguan terhadap komputer dan sistem teknikal lain yang perlu memproses minit dengan 61 saat atau, lebih rumit, 59 saat, berbanding tempoh biasa 60 saat.
“Selepas 30 tahun perdebatan, saat lompat akan digantikan dengan jam lompat,” kata saintis utama Jabatan Masa dan Frekuensi di Makmal Fizik Kebangsaan United Kingdom (NPL), Dr. Setnam Shemar.
Beliau berkata, perubahan itu akan mengurangkan risiko terhadap sistem dan infrastruktur negara yang bergantung pada ketepatan masa, sambil mengekalkan hubungan asas antara sistem waktu dunia dengan putaran bumi.
Keputusan yang dibuat di Versailles itu membolehkan Waktu Sejagat Selaras (UTC) berbeza sehingga satu jam daripada waktu astronomi sebelum pelarasan melalui jam lompat diperlukan. Bagaimanapun, keadaan itu dijangka hanya berlaku selepas ribuan tahun.
Selepas saat lompat dilaksanakan pada 2012, terdapat sistem komputer yang sistem operasinya tidak dapat mengendalikan minit dengan 61 saat, menyebabkan pelayan komputer terhenti dan tidak berfungsi.
Antara laman web yang mengalami gangguan ketika itu ialah Reddit dan LinkedIn. Secara berasingan, penerbangan Qantas turut mengalami kelewatan.
“Saat lompat negatif pula membawa risiko yang lebih besar. Ada kemungkinan perisian tertentu belum pernah diuji untuk menghadapi saat lompat negatif kerana kita tidak pernah perlu melaksanakannya sebelum ini.
“Menguji semua sistem komputer di seluruh dunia yang saling berhubung akan menelan belanja yang sangat besar bagi syarikat. Kebimbangan mengenai kos dan risiko inilah yang mendorong keputusan undian tersebut,” kata Shemar.
Sebelum ini, United Kingdom membantah pemansuhan saat lompat kerana kaitannya dengan Waktu Min Greenwich (GMT). Russia juga menentang perubahan itu atas kebimbangan mengenai kesannya terhadap sistem navigasi satelit Glonass negara berkenaan.-AGENSI










