Djokovic buru tiket ATP Finals di Basel

Djokovic buru tiket ATP Finals di Basel

Novak Djokovic
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BASEL: Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic mengubah perancangan apabila menerima jemputan khas untuk beraksi dalam kejohanan ATP 500 di Basel, Switzerland, hujung bulan ini, dalam usaha memburu tiket ke Kejohanan Akhir ATP di Turin, Itali.

Pemain berusia 39 tahun itu perlu mengharungi cabaran getir selepas jatuh ke tangga ke-11 dalam kedudukan Race to Turin, dengan hanya lapan pemain terbaik layak beraksi pada kejohanan penutup musim dari 15 hingga 22 November ini.

Pemenang 24 gelaran Grand Slam itu sebelum ini memberi bayangan bahawa Masters Paris pada awal November akan menjadi satu-satunya kejohanan disertainya sebelum ATP Finals, namun kini memilih untuk menambah aksi di Basel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejohanan itu juga menandakan kemunculan pertama Djokovic di Basel sejak penampilan terakhirnya pada 2011, selepas tiga kali beraksi di gelanggang berkenaan.

Djokovic hadir dengan bekalan kejayaan menjuarai kejohanan di Beijing awal bulan ini, sekali gus meraih gelaran ke-102 dalam karier profesionalnya meskipun momentum itu tidak berpanjangan apabila dia tersingkir pada perlawanan pembukaan Masters Shanghai.

Bekas pemain nombor satu dunia itu memiliki rekod tujuh kejuaraan ATP Finals, namun kedudukannya kini terancam dalam perebutan slot ke Turin yang masih terbuka luas.

Setakat ini, Alexander Zverev dan Carlos Alcaraz sudah mengesahkan kelayakan, manakala Jannik Sinner yang turut layak lebih awal menamatkan musimnya akibat kecederaan lutut, sekali gus membuka ruang persaingan untuk enam tempat yang masih tersedia.

Djokovic sebelum ini turut dijadual beraksi dalam kejohanan pameran berhadiah lumayan, Six Kings Slam di Arab Saudi, minggu depan, namun acara itu ditangguhkan ke penghujung Disember susulan beberapa serangan maut yang dilakukan kumpulan Houthi dari Yaman.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini