Alcaraz jadi taruhan Sepanyol

Alcaraz jadi taruhan Sepanyol

CARLOS Alcaraz.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOLOGNA: Ketiadaan Carlos Alcaraz ketika Sepanyol menewaskan Austria pada aksi suku akhir Piala Davis semalam tidak mengundang masalah, namun kehadiran pemain No. 3 dunia  itu dijangka menjadi taruhan penting apabila berdepan Britain pada separuh akhir, malam ini.

Kapten Sepanyol, David Ferrer yakin Alcaraz mampu kembali beraksi selepas pemain itu mengalami ketidakselesaan pada paha kiri susulan kejayaannya menjuarai ATP Finals di Turin, baru-baru ini.

Keputusan merehatkan Alcaraz ketika menentang Austria dibuat bagi mengelakkan risiko terhadap masalah fizikal yang dialaminya, sekali gus membolehkan Sepanyol menempah tiket ke separuh akhir menerusi kemenangan 2-0.

Memuatkan artikel berkaitan…

Daniel Merida dan Rafael Jodar membuktikan Sepanyol masih mampu mengatasi Austria tanpa khidmat Alcaraz dalam acara perseorangan mahupun beregu, tetapi cabaran Britain dijangka memberikan ujian lebih besar.

“Kami tidak mahu mengambil risiko dengan masalah fizikal yang dialami Alcaraz. Saya gembira kerana dia akan bersedia untuk beraksi Sabtu ini,” kata Ferrer.

Ferrer turut memuji ketenangan Merida yang berjaya mengatasi Joel Schwaerzler pada aksi pembukaan meskipun pemain itu baru membuat penampilan sulung dalam saingan Piala Davis tahun ini.

Menurutnya, kejayaan memenangi set pertama menjadi faktor penting buat Merida yang pada awalnya kelihatan gugup sebelum semakin selesa mengendalikan tekanan pada set kedua.

Sepanyol kini memburu gelaran ketujuh Piala Davis dan yang pertama sejak 2019 selepas muncul naib juara edisi tahun lalu, namun kemampuan Alcaraz mengharungi aksi separuh akhir tanpa masalah fizikal bakal menjadi antara perhatian utama menjelang pertemuan dengan Britain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini