SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya dalam menerajui pertanian masa hadapan menerusi pembangunan teknologi pintar dan penghasilan penyelidikan yang bermanfaat kepada masyarakat.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Abd Rahim Abu Talib berkata, perkembangan itu selari dengan perubahan sektor pertanian yang semakin bergantung kepada teknologi moden, automasi dan kecerdasan buatan (AI).
“Lebih bermakna, UPM turut melahirkan 19 graduan sulung program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar dengan Kepujian yang mencerminkan perkembangan bidang pertanian ke arah penggunaan teknologi lebih moden,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Konvokesyen Ke-50 UPM di sini, semalam.
Pada Konvokesyen UPM Ke-50 tahun itu, seramai 7,062 graduan diraikan iaitu seramai 619 pada sidang pertama di UPM Sarawak dan 6,443 lagi pada sidang kedua di UPM Serdang sebagai sebahagian daripada legasi universiti itu dalam melahirkan bakat yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Dalam pada itu, penerima Hadiah Kecemerlangan Penyelidikan (PhD) All Cosmos Industries, Dr. Husain Murat, 42, berkata, penyelidikan itu tercetus daripada pengalamannya berkhidmat dalam bidang fizik perubatan.
“Penggunaan pelbagai teknologi bagi tujuan diagnosis dan rawatan pesakit di Jabatan Perubatan Nuklear memerlukan penelitian berterusan terhadap risiko serta keselamatan radiasi.
“Teknologi yang saya jalankan dalam kajian itu sebenarnya menggunakan teknologi sedia ada dalam perubatan nuklear, cuma saya memperkenalkan kaedah baharu untuk mengira risiko sinaran kepada pesakit yang menjalani pemeriksaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kajian itu memberi tumpuan kepada prosedur PET scan yang digunakan bagi menilai fungsi tubuh pesakit, khususnya mereka yang menghidap kanser.
Menurutnya, penyelidikan berkenaan dirancang untuk diselesaikan dalam tempoh tiga tahun bagi menghasilkan penemuan yang boleh dimanfaatkan, selain membuka ruang kepada penyelidikan lanjutan oleh calon Doktor Falsafah (PhD) pada masa hadapan.
Sementara itu, penerima Anugerah Canselor, Ahmad Danish Iskandar Muhafazil, 23, berkata, dia bersyukur dan gembira apabila penglibatan aktif dalam kepimpinan, kesukarelaan serta pembangunan diri sepanjang pengajian turut membawanya menerima pengiktirafan berkenaan.
“Anugerah itu membawa makna tersendiri kerana impiannya sejak sekolah rendah untuk membawa ibu bapanya naik ke pentas akhirnya menjadi kenyataan. Hasrat tersebut pernah hampir tercapai apabila saya menerima Anugerah Ultra Icon UPM pada 2024, namun ibu bapa saya tidak berkesempatan hadir,” katanya.
Katanya, kejayaan itu turut menjadi motivasi untuk dirinya menjadi contoh kepada adik-adik serta membuktikan bahawa usaha dan kesungguhan mampu membuahkan hasil.
Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Lye Kemin, 23, berkata, pengiktirafan itu hadir di luar jangkaan selepas dia mengimbangi pengajian dalam bidang Sains Bioperubatan dengan pelbagai tanggungjawab kokurikulum dan kepimpinan sepanjang empat tahun.
Katanya, keberanian meneroka bidang di luar pengajian membuka peluang untuk mengembangkan potensi diri, termasuk dalam aspek pembangunan perniagaan.
“Antara pengalaman paling bermakna ialah apabila diberi kepercayaan memegang jawatan Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dalam AIESEC in UPM. Tanggungjawab itu menjadi cabaran tersendiri kerana saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan.
“Sebagai pelajar Sains, saya merasakan perlu mencuba sesuatu yang berbeza untuk mengembangkan diri,” katanya.
Menurutnya, pengalaman tersebut meningkatkan keyakinan terhadap kemampuan diri, selain membuktikan bahawa sesuatu yang diusahakan dengan bersungguh-sungguh mampu dicapai.
Dia kini bekerja sebagai pelatih pengurusan di Trip.com bagi menimba pengalaman dalam industri pelancongan sebelum mempertimbangkan untuk menyambung pengajian. – UTUSAN











