KOTA BHARU: Detik seorang bapa mengajar dua anak lelakinya mengucap dua kalimah syahadah ketika dalam keadaan nazak menjadi pengalaman paling memilukan selepas mereka maut dalam kemalangan di Kampung Bechah, Tendong, Pasir Mas semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, Muhammad Saiful Haider Saiful Nizam Abdul Sani, 10, meninggal dunia di lokasi dan dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) manakala Muhammad Saiful Hayyan, 6, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan anak sulung, Muhammad Saiful Haikal, 18, patah ibu jari kaki.
Bapa mangsa, Saiful Nizam Abdul Sani, 42, berkata, kejadian berlaku ketika anak sulungnya pergi mengambil adiknya, Muhammad Saiful Haider di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib dan Muhammad Saiful Hayyan turut ikut bersama.
Katanya, ketika dalam perjalanan pulang, motosikal mereka tiba-tiba terbabas lalu merempuh tiang elektrik.
“Saya kemudian bergegas ke lokasi pada jarak satu kilometer dari rumah selepas diberitahu isteri, Noor Zuhanis Mohd. Noor. Sebaik sampai Muhammad Saiful Haider dan Muhammad Saiful Hayyan dalam keadaan nazak,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ.
Jenazah Muhammad Saiful Haider dan Muhammad Saiful Hayyan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Gaung pada pukul 10.50 pagi di sini, semalam selepas disolatkan di Masjid Al-Hanan Tendong. – UTUSAN











