Khamenei mahu setiap rakyat Iran jadi anggota ‘Basij’

Khamenei mahu setiap rakyat Iran jadi anggota ‘Basij’

RAKYAT Iran berarak sambil membawa potret Pemimpin Agung Iran, Mojtaba Khamenei semasa perhimpunan sempena Hari Quds Antarabangsa di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei menggesa pasukan sukarelawan di seluruh negara yang bersekutu dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dikenali sebagai Basij untuk memperluas pengaruh mereka dalam masyarakat bagi mencapai matlamat menjadikan setiap rakyat Iran sebagai anggota kumpulan itu.

Lapor Reuters, sejak perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada akhir Februari lalu, pihak berkuasa Iran bergantung kepada Basij untuk membantu menganjurkan perhimpunan menyokong kerajaan di seluruh negara secara berulang kali. 

Media kerajaan pula menggambarkan perhimpunan itu sebagai bukti sokongan meluas rakyat terhadap Republik Islam itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mojtaba tidak muncul di khalayak ramai sejak menggantikan bapanya, Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan pada peringkat awal perang. 

Beliau setakat ini menyampaikan mesej menerusi kenyataan bertulis, manakala pegawai Iran memberikan alasan keselamatan bagi menjelaskan ketiadaannya daripada perhatian umum.

Dalam mesej terbaharu sempena Minggu Basij, beliau menggesa organisasi itu mendapatkan sokongan daripada kelompok lebih luas, termasuk individu yang berkongsi ideologinya tetapi bukan anggota rasmi bagi membantu menangani masalah negara, menurut laporan media kerajaan.

Basij yang secara rasmi dikenali sebagai Pertubuhan Mobilisasi Golongan Tertindas, ditubuhkan oleh pengasas Republik Islam Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini pada 1979.

Pasukan itu menjadi sumber utama tenaga manusia ketika perang Iran-Iraq dari 1980 hingga 1988 sebelum diserapkan ke dalam IRGC pada 1981.

Kehadirannya di seluruh negara, termasuk di universiti, institusi kerajaan dan kawasan kejiranan, menyokong peranannya dalam mempromosikan ideologi Republik Islam itu, menguatkuasakan peraturan sosial, menggerakkan penyokong menghadiri perhimpunan, menyekat demonstrasi serta membantu operasi bantuan bencana dan kempen kerajaan.

Seruan Mojtaba itu dibuat ketika Republik Islam berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat serta sekatan AS, yang digunakan Washington untuk meningkatkan tekanan terhadap kerajaan dan mengambil kesempatan daripada ketidakpuasan hati rakyat.

Laporan media kerajaan mengenai perhimpunan menyokong kerajaan ketika perang turut memaparkan kehadiran wanita yang tidak mematuhi sepenuhnya peraturan wajib berhijab, dalam usaha menggambarkan perpaduan nasional yang merangkumi kelompok di luar penyokong konservatif tradisional kerajaan.

Kerajaan turut berusaha menggerakkan penyokongnya menerusi beberapa inisiatif, termasuk program Janfada yang bermaksud pengorbanan diri bagi menggalakkan sukarelawan mendaftar untuk menjalani latihan dan membantu mempertahankan negara.

Selain itu, kempen tenaga Basij turut dilancarkan oleh ketua baharunya, Hossein Taeb.

Menerusi kempen itu, anggota Basij dilatih untuk menggalakkan isi rumah dan premis perniagaan mengurangkan penggunaan elektrik serta gas ketika Iran berdepan kemungkinan kekurangan bekalan tenaga pada musim sejuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini