Empat anugerah istimewa UKM iktiraf kecemerlangan graduan - Utusan Malaysia

Empat anugerah istimewa UKM iktiraf kecemerlangan graduan

AB. Rauf Yusoh menerima ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan pada Majlis Konvokesyen Ke-54 UKM di Bangi, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kejayaan mengharungi cabaran peribadi, kecemerlangan akademik, kepemimpinan mahasiswa serta penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat antara pencapaian yang melayakkan enam graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima anugerah istimewa sempena Majlis Konvokesyen Ke-54.

Pengiktirafan itu merangkumi Anugerah Naib Canselor, Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Emas Kedoktoran dan Anugerah Emas Sarjana yang diberikan berdasarkan pencapaian serta sumbangan penerima sepanjang pengajian.

Penerima Anugerah Naib Canselor, Mohd. Nuraiman Haikal Mohd. Sofe berkata, pengalaman mengumpulkan dana bagi projek menaik taraf Surau Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) dengan kos hampir RM70,000 menjadi antara ujian terbesar dalam membentuk kepemimpinannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebagai pengarah projek, tanggungjawab itu menuntutnya mengurus kewangan, menyelaras pasukan dan berkomunikasi dengan pelbagai pihak terutama ketika berdepan kesukaran mendapatkan dana.

“Daripada pengalaman itu saya belajar untuk lebih bersabar, menerima pandangan dan kritikan, mencari alternatif serta membuat keputusan dalam keadaan tertekan,” katanya.

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, S. Liviskumar berkata, meskipun pernah berhasrat berhenti belajar akibat tekanan akademik, kesungguhan mengubah nasib diri menjadi pegangannya untuk memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00.

“Nasihat ibu saya menjadi pendorong untuk meneruskan pengajian ketika berasa tidak mampu menghadapi kesukaran pelajaran di Kolej Matrikulasi Kelantan,” katanya.

Seorang lagi penerima anugerah sama, Wan Ahmad Zuhair Wan Yusoff pula berkata, dia berdepan cabaran ketika komputer ribanya rosak akibat terkena air, susulan kebocoran siling bilik penginapannya di Kolej Ibrahim Yaakub ketika menyiapkan projek tahun akhir.

“Proses pembaikan mengambil masa hampir dua bulan, tapi saya tetap meneruskan tugasan menggunakan komputer berkenaan selagi masih boleh berfungsi.

“Saya berjaya membangunkan VisionGro, sistem pertanian pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pesawah mengesan penyakit tanaman, menilai risiko cuaca dan mendapatkan cadangan rawatan bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Emas Kedoktoran, Prof. Dr. Mohd. Faizal Ahmad berkata, beliau menerima pengiktirafan menerusi penyelidikan mengenai kaedah pematangan telur di makmal bagi membantu wanita yang mempunyai rizab ovari rendah.

“Kajian klinikal melibatkan 30 wanita itu mendapati kira-kira 50 peratus telur belum matang dalam kumpulan wanita dengan rizab ovari rendah berjaya mencapai tahap matang menerusi kaedah rescue in vitro maturation (r-IVM),” katanya.

Turut menerima ijazah hari ini ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang dikurniakan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) (Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan); bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (Ijazah Doktor Falsafah-Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan (Ijazah Doktor Falsafah Sains Maklumat-Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini