Azizulhasni terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UKM - Utusan Malaysia

Azizulhasni terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menyifatkan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai amanah untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Beliau menerima pengiktirafan itu yang dikurniakan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-54 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Azizulhasni, beliau melalui ujian getir selepas memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo apabila disahkan mengalami kelainan salur darah koronari sejak lahir atau Anomalous Right Coronary Artery.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelainan pada salur darah itu jarang berlaku dan hanya membabitkan kurang satu peratus daripada populasi dunia.

Katanya, selepas menjalani pembedahan jantung, seorang pakar kardiologi sukan di Melbourne pada Mac 2022 mengingatkannya supaya tidak terlalu berharap untuk kembali ke tahap tertinggi.

Ini kerana belum pernah ada atlet yang menjalani pembedahan jantung dapat kembali beraksi cemerlang di peringkat dunia.

“Saya boleh menerima kata-kata itu sebagai satu pengakhiran atau terus mencuba dan berusaha namun pada waktu itu, saya memilih untuk meneruskan perjuangan.

“Sekiranya memilih untuk bersara, mungkin saya tidak akan berdiri di hadapan anda semua pada hari ini dan mungkin tidak akan berpeluang untuk mencipta sejarah baharu sukan negara pada tahun ini dengan meraih dua pingat emas di Piala Dunia Trek UCI di Perth dan Nilai, diikuti pingat emas di Temasya Sukan Komanwel Glasgow dan Temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya baru-baru ini,” katanya.

Menurut The Pocket Rocketman itu, beliau, kejayaan berkenaan bukan sekadar kemenangan, sebaliknya menjadi lambang perjuangan, pengorbanan, doa yang tidak pernah putus serta simbol ujian kehidupan tidak seharusnya dijadikan titik noktah untuk terus mencuba.

Menitipkan pesanan kepada generasi muda, Mohd Azizulhasni menyeru mereka supaya berani bermimpi besar dan tidak membiarkan kegagalan atau pandangan orang lain mengehadkan kemampuan diri.

“Kejayaan bukan hanya milik mereka yang dilahirkan dengan kelebihan, kejayaan juga adalah milik mereka yang sanggup bekerja keras, berdisiplin, berani menghadapi kegagalan dan tidak pernah berputus asa.

“Selagi masih ada peluang, perjuangan belum berakhir,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni turut menyatakan penghargaan kepada UKM, keluarga khususnya isteri dan anak-anak serta semua pihak yang membantunya sepanjang perjalanan karier beliau.

Katanya, kejayaan yang dikecapi hari ini bukanlah hasil usahanya seorang diri.

“Mohd Azizulhasni Awang tidak akan berada pada tempat ini hari ini tanpa sokongan anda. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini