KUALA LUMPUR: Kenaikan pangkat secara one-off kepada pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang bermula 1 Januari ini, tertakluk kekosongan dan tidak bersifat automatik sebaliknya bergantung kepada merit ditetapkan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan syarat itu menerusi surat bertarikh 17 November 2026 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Surat berkenaan menyatakan bahawa kenaikan pangkat terbabit bergantung kepada kekosongan jawatan dan tidak bersifat automatik serta tertakluk merit ditetapkan.
Bagi tujuan kenaikan pangkat itu, pegawai perlu memenuhi syarat, iaitu berada dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), disahkan dalam perkhidmatan dan berada pada suatu gred lantikan kenaikan pangkat sebelum atau pada 31 Disember 2026 mengikut tempoh ditetapkan.
Tempoh minimum perkhidmatan yang melayakkan kenaikan itu adalah bagi tiga gred jawatan iaitu bagi Gred 12 ke Gred 13, tempoh minimum sandangan gred semasa adalah enam tahun, manakala perkhidmatan keseluruhan adalah 22 tahun.
Bagi Gred 10 ke Gred 12, tempoh minimum sandangan gred semasa adalah lapan tahun, manakala perkhidmatan keseluruhan adalah 16 tahun dan bagi Gred 9 ke Gred 10, tempoh minimum sandangan gred semasa adalah lapan tahun, manakala perkhidmatan keseluruhan juga adalah lapan tahun.
“Tempoh yang menyebabkan pegawai hilang kesan tidak boleh diambil kira sepanjang tempoh sandangan gred semasa dan tempoh perkhidmatan keseluruhan.
“Tempoh sandangan gred semasa dan perkhidmatan keseluruhan turut mengambil kira sandangan di gred setara di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM),” kata surat berkenaan.
Ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan kenaikan pangkat one-off secara Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada 12,000 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Anwar berkata, kenaikan pangkat itu bagi mengiktiraf pegawai cemerlang yang menunggu untuk dinaikkan pangkat susulan perjawatan yang terhad.
Syarat lain yang ditetapkan bagi tujuan kenaikan pangkat itu memperoleh markah prestasi 85 peratus dan ke atas bagi tiga tahun terkini berdasarkan wajaran yang ditetapkan serta markah pencapaian tahun terakhir sekurang-kurangnya 85 peratus.
Selain itu, diperakukan Ketua Jabatan dan Ketua Perkhidmatan, bebas daripada hukuman tatatertib pada 31 Disember 2026 dan semasa perakuan dibawa kepada Lembaga Kenaikan Pangkat serta sudah mengisytiharkan harta berdasarkan peraturan yang ditetapkan.
Pada masa sama, lulus tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak disenaraikan sebagai Peminjam Pendidikan Tegar oleh institusi pinjaman pendidikan dan syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat seperti temu duga dan kriteria penilaian berdasarkan skim perkhidmatan masing-masing.
“Pegawai yang diperuntukkan bagi kenaikan pangkat secara one-off ini perlu menjalani tempoh pemangkuan selama satu tahun dan akan dinaikkan pangkat selepas memenuhi syarat kenaikan pangkat berdasarkan peraturan dan pekeliling perkhidmatan yang berkuat kuasa,” katanya.
Bagi memastikan urusan itu dilaksanakan secara teratur, Ketua Perkhidmatan bertanggungjawab antara lain perlu mengenal pasti pegawai yang sudah memenuhi syarat berkenaan dan seterusnya mengemukakan kepada urus setia Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkaitan dengan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia masing-masing untuk pertimbangan pemangkuan sebelum kenaikan pangkat secara one-off.
Ketua Perkhidmatan juga perlu memastikan pegawai yang diluluskan pemangkuan ditempatkan secara KUP dan mengisi jawatan hakiki apabila berlakunya kekosongan, termasuk apabila pegawai sudah dinaikkan pangkat.
“Seterusnya, Ketua Jabatan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan, termasuk menyediakan skop tugas tambahan dalam deskripsi tugas sedia ada pegawai selaras dengan peningkatan gred di jawatan itu dan membuat pemantauan secara berkala pelaksanaan terhadap tugasan tambahan yang ditetapkan.
“Mengemukakan permohonan pindaan butiran jawatan pegawai pada waran perjawatan kepada Bahagian Perjawatan dan Organisasi JPA dalam tempoh 30 hari selepas keputusan Lembaga Kenaikan Pangkat diterima untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Surat itu memaklumkan, perakuan bagi urusan berkenaan perlu ditetapkan kepada urus setia Lembaga Kenaikan Pangkat masing-masing sebelum atau pada 30 Jun 2027.










