PETALING JAYA: Pegawai perubatan yang sedang menjalani Supervised Work Experience (SWE) belum layak menerima elaun on call atau bertugas atas panggilan (ETAP) Pakar kerana masih belum diwartakan sebagai pakar perubatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab berkata, pembayaran ETAP kepada pegawai perubatan yang menjalani SWE adalah berdasarkan kadar dan syarat kelayakan Pegawai Perubatan, mengikut pekeliling perkhidmatan yang berkuat kuasa.
Katany, SWE merupakan tempoh pengalaman kerja di bawah penyeliaan Pakar Perubatan yang wajib dilalui Pegawai Perubatan selepas tamat latihan kepakaran sebelum didaftarkan sebagai pakar dalam National Specialist Register (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MPM).
“Bagaimanapun, setelah berjaya melengkapkan SWE dan memenuhi semua keperluan pengiktirafan pakar yang ditetapkan termasuk pendaftaran dalam NSR serta pewartaan sebagai pakar perubatan melalui surat warta pakar, pegawai layak dipertimbangkan untuk menerima ETAP Pakar dan Bayaran Insentif Pakar (BIP).
“Pembayaran tersebut tertakluk kepada Perintah Am serta peraturan dan syarat kelayakan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, KKM turut mengalu-alukan pandangan orang ramai dan sentiasa terbuka terhadap sebarang isu pelaksanaan yang dibangkitkan.
Bagaimanapun, pihaknya berharap permasalahan dapat disalurkan melalui saluran rasmi yang tersedia bagi mengelakkan kekeliruan berkenaan tatacara perkhidmatan awam.
“Sebarang penambahbaikan terhadap dasar dan kelayakan pembayaran elaun akan terus diteliti secara menyeluruh bersama agensi pusat dengan mengambil kira kebajikan pegawai, keperluan perkhidmatan awam serta pematuhan kepada peraturan perkhidmatan dan tatakelola kewangan yang berkuat kuasa.
“KKM turut menghargai komitmen, pengorbanan dan sumbangan semua pegawai yang sedang menjalani SWE dalam memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya.- UTUSAN











