Guan Eng boleh terus beri pandangan isu air -Kon Yeow

Guan Eng boleh terus beri pandangan isu air -Kon Yeow

Chow Kon Yeow (kiri) melakukan gimik merasmikan Konvensyen Antarabangsa Baba dan Nyonya kali ke-37 di  Persiaran Gurney.-UTUSAN/Danial Saad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng boleh terus memberikan pandangan berhubung isu Perjanjian Pembekalan Air Pukal (BWSA) antara Pulau Pinang dengan Perak sementara menunggu penjelasan lanjut daripada kerajaan negeri menerusi satu sidang media dalam beberapa hari lagi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau akan mengadakan sidang media bagi menjawab segala kritikan dan persoalan yang dibangkitkan bekas Ketua Menteri itu berhubung isu berkenaan.

”Saya akan mengaturkan satu sidang media dalam beberapa hari. Dalam tempoh ini, dia (Guan Eng) boleh terus memberikan apa sahaja pandangan yang ingin disuarakan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Baba dan Nyonya kali ke-37 di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan berterusan Guan Eng menerusi media sosial berhubung isu perjanjian bekalan air antara Pulau Pinang dengan Perak termasuk dakwaan terbaharu bahawa Kon Yeow tidak beretika dalam menangani perkara itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada media sosial merupakan medium sesuai untuk mengkritik atau membincangkan sesuatu isu, Kon Yeow berkata, pihaknya sekali lagi menyerahkan perkara itu kepada pihak yang mengemukakan pandangan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang mempersoalkan tindakan DAP terus bekerjasama dengan UMNO meskipun kedua-dua parti itu pernah saling menyerang ketika pilihan raya negeri sebelum ini.

Mengulas perkara itu, Kon Yeow berkata, beliau menyifatkan kenyataan Fahmi sebagai pandangan peribadi dan mengingatkan bahawa parti yang dianggotai Fahmi iaitu PKR juga bekerjasama dengan UMNO di peringkat kerajaan Persekutuan.

”Itu pandangan peribadi beliau (Fahmi). Parti beliau sendiri bekerjasama dengan UMNO di peringkat nasional, bukankah begitu,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan kerjasama antara kerajaan negeri Pulau Pinang dengan UMNO susulan mesyuarat PKR negeri, Kon Yeow berkata, setakat ini tiada sebarang pengumuman dibuat berhubung keputusan mesyuarat berkenaan.

”Mereka (PKR) tidak membuat apa-apa pengumuman. Saya pun tidak tahu apa keputusan yang dibuat,” katanya.

Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik itu tertakluk kepada ketetapan kepimpinan di peringkat Pusat manakala parti di peringkat negeri bebas mengemukakan pandangan masing-masing.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, di peringkat kerajaan negeri, persefahaman yang dicapai sebelum ini untuk memastikan kerjasama baik di peringkat Persekutuan dan negeri sehingga tamat penggal perlu dihormati semua pihak.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini