Jangan biar kemelut berlarutan

Jangan biar kemelut berlarutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas lebih tiga bulan berakhirnya PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, pentadbiran kerajaan negeri masih belum dapat berfungsi sepenuhnya. Kemelut pentadbiran dan adat yang berlarutan bukan sahaja mencetuskan ketidaktentuan malah menjejaskan urusan negeri.

Perkara itu turut diakui Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim ketika sidang akhbar semalam apabila beliau menjelaskan pentadbiran kerajaan negeri tidak dapat berfungsi dengan sempurna berikutan ketiadaan barisan Exco. Malah Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri tidak dapat diadakan sehingga menyebabkan banyak perkara penting tidak boleh diputuskan.

Punca kepada kemelut berkenaan tidak perlu dihuraikan panjang lebar kerana perkembangannya diketahui umum malah kronologi yang berlaku juga cukup panjang. Ia jelas untuk menggambarkan betapa rumitnya situasi yang sedang dihadapi.

Bagaimanapun, episod baharu berlaku semalam selepas Ismail menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. ADUN Juasseh itu juga memaklumkan diberi perkenan untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

Susulan perkembangan terbaharu itu, Ismail memberikan komitmen untuk menyelesaikan isu yang tertangguh, termasuk membentuk barisan exco baharu dan mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan perkenan baginda.

Bagaimanapun, kenyataan Ismail itu adalah disebalik pendirian BN sebelum ini yang menyatakan parti itu akan mengemukakan nama baharu bagi menggantikannya. Justeru, keadaan itu menandakan kemelut ini boleh dikatakan masih belum selesai secara menyeluruh. Dijangkakan akan ada kenyataan susulan dari banyak pihak.

Bagaimanapun, tindakan Ismail untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar perlu dihormati semua pihak bagi memastikan urusan pentadbiran Negeri Sembilan dapat dipulihkan dalam tempoh segera yang mungkin.

Dalam apa juga perkembangan selepas ini, semua pihak perlu meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Apatah lagi mengambil kira keputusan serta mandat yang diberikan rakyat pada PRN lalu. Ia tentunya tidak boleh diketepikan sewenang-wenangnya.

Pengundi menggunakan hak untuk memilih parti dan wakil rakyat yang diyakini mampu membawa suara serta memperjuangkan kepentingan mereka. Kepercayaan itu perlu dihormati dan diterjemahkan melalui pentadbiran yang bertanggungjawab dan stabil.

Pada masa sama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) mesti kembali dijunjung tinggi. Keunikan sistem pemerintahan Negeri Sembilan menuntut setiap pihak memahami serta menghormati kedudukan masing-masing.

Sebarang tindakan yang tidak menghormati peruntukan perlembagaan negeri pastinya akan membawa kesan serius khususnya terhadap kestabilan politik dan institusi pemerintahan. Situasi ke arah itu boleh dilihat jelas dengan apa yang berlaku ketika ini.

Mahu atau tidak, jalan penyelesaian kemelut mesti diambil supaya rakyat tidak terheret. Buat golongan oportunis, jangan cuba mengambil kesempatan, jangan jadikan apa yang berlaku ini sebagai mainan politik .

Apa yang lebih penting sekarang, pentadbiran Negeri Sembilan mesti bergerak, kemelut perlu diselesaikan. Lebih lama ia dibiarkan berlarutan lebih banyak juga kewibawaan institusi yang akan terjejas.

Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia