Bella Astillah belum berbulan madu, tunggu Syed Saddiq selesai urusan Parlimen - Utusan Malaysia

Bella Astillah belum berbulan madu, tunggu Syed Saddiq selesai urusan Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sudah sebulan bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun pelakon dan penyanyi popular, Bella Astillah, mengakui masih belum berpeluang menikmati bulan madu bersama suaminya.

Menurut Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, perancangan untuk berbulan madu hanya akan direalisasikan selepas suaminya selesai dengan urusan di Parlimen.

Bagaimanapun, Bella berkata, dia tidak mahu mendesak Syed Saddiq memandangkan masing-masing mempunyai komitmen tersendiri, selain perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan di rumah baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Belum. Sebenarnya, perkara itu hanya akan dilakukan selepas YB selesai bersidang di Parlimen. Namun, saya tidaklah mendesak beliau. Saya faham dan saya juga sibuk sekarang.

“Maklumlah, kami sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di rumah baharu. Ada banyak perkara lain yang jauh lebih penting dan sedang saya berikan perhatian. Bulan madu ini hanyalah satu bonus,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Majlis Anugerah Nona 2026, di ibu negara, kelmarin.

Dalam pada itu, Bella mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari sepanjang menjalani kehidupan sebagai suami isteri, terutama dalam memahami perbezaan kehidupan dan kerjaya masing-masing.

Katanya, mereka masih dalam proses menyesuaikan diri memandangkan sebelum ini masing-masing menjalani kehidupan secara berasingan dan mempunyai bidang kerjaya yang berbeza.

“Saya rasa ada beberapa perkara yang lebih selesa untuk saya simpan sendiri. Namun, sebenarnya lebih kepada kami yang masih dalam proses saling mengenali dan mempelajari kehidupan masing-masing.

“Sebelum ini, kami menjalani kehidupan secara berasingan. Sudah tentu, dari segi kerjaya juga, kami mempunyai bidang pekerjaan yang berbeza dan sedang berusaha untuk saling memahami,” katanya.

Mengulas kemungkinan mengehadkan perkongsian mengenai kehidupan peribadi selepas mendirikan rumah tangga, Bella berkata, tumpuannya kini lebih terarah kepada anak-anak dan kerjaya.

Jelasnya, dia tidak mempunyai masalah untuk berkongsi perkara peribadi yang dirasakan sesuai, namun selebihnya mahu memberikan keutamaan kepada keluarga serta tanggungjawab profesional.

“Buat masa ini, fokus saya adalah kepada anak-anak dan kerjaya. Jadi, perkara peribadi yang boleh dikongsikan, saya akan kongsikan. Namun, selebihnya, fokus saya sekarang memang lebih kepada kerjaya dan anak-anak,” katanya.

Menyentuh penerimaan anak-anak terhadap kehidupan baharu mereka, Bella bersyukur kerana kedua-duanya dapat menyesuaikan diri dengan baik dan gembira apabila kini tinggal sebumbung.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Mereka sangat gembira. Biasanya, agak sukar untuk kita membuatkan anak-anak memahami sesuatu keadaan. Namun, apabila mereka sendiri berasa bahagia, itu sudah cukup baik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Bella turut menjelaskan bahawa suaminya tidak meletakkan sebarang syarat berkaitan kerjaya seni yang diceburinya.

Sebaliknya, kata Bella, Syed Saddiq sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat untuk dirinya meneruskan apa sahaja yang dirasakan terbaik.

“Setakat ini, tidak ada. Beliau memberikan sokongan dan sentiasa memberikan kata-kata semangat. Beliau selalu mengatakan, tidak mengapa dan teruskan apa sahaja yang saya rasakan terbaik. Saya rasa semuanya berjalan dengan baik. Alhamdulillah,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kembali aktif dalam bidang lakonan selepas agak lama berehat, Bella tidak menolak peluang untuk kembali bekerja di hadapan kamera, namun memilih untuk tidak terburu-buru.

Katanya, dia mungkin mempertimbangkan perkara itu pada tahun hadapan, selain mahu memanfaatkan masa yang ada untuk bersama anak-anak, Egan dan Aram, selagi mereka masih membesar.

“Memang sudah lama sangat saya tidak berlakon. Namun, kita lihatlah, insya-Allah tahun hadapan. Saya rasa tidak mahu terburu-buru buat masa ini.

“Kami baru sahaja melangkah ke alam perkahwinan. Jadi, saya rasa lebih baik mengambil masa dan menjalani semuanya secara perlahan-lahan.

“Saya juga sedar Egan dan Aram akan semakin membesar. Jadi, selagi saya masih berpeluang untuk meluangkan masa bersama mereka, saya mahu menggunakan kesempatan itu untuk berada di sisi mereka,” katanya.

Mengakui bukan mudah untuk mengimbangi jadual kerja yang padat dengan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, Bella bagaimanapun menganggap kesibukan tersebut sebagai satu rezeki yang perlu disyukuri.

“Sejujurnya, memang agak sukar. Namun, saya percaya ini merupakan satu masalah yang baik untuk dihadapi. Ini semua rezeki. Jadi, selagi Allah masih mengurniakan rezeki, saya akan menerimanya.

“Tambahan pula, semua ini juga demi masa depan anak-anak. Jadi, saya tidak kisah. Alhamdulillah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini