Persediaan hadapi ‘kiamat’ meningkat di AS 

Persediaan hadapi ‘kiamat’ meningkat di AS 

PENDUDUK membeli bekalan air minuman dalam botol di sebuah pasar raya Costco di Burbank, California.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pengguna di Amerika Syarikat (AS) kini semakin giat membuat persediaan untuk menghadapi kemungkinan bencana besar seolah-olah dunia bakal berakhir, susulan gangguan teknologi dan serangan siber yang menyerang negara itu serta benua Eropah baru-baru ini.

Walmart Inc, peruncit terbesar yang membangkitkan trend itu berkata, pengguna semakin banyak membeli gas propana, air minuman dalam botol dan peralatan perkhemahan.

Awal minggu ini, Costco Wholesale Corp turut melaporkan peningkatan mendadak pembeli menyimpan stok barangan seperti makanan dalam tin dan beras.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, Tractor Supply Co berkata, jualan produk termasuk generator, tangki penyimpanan cecair dan aksesori gas propana menunjukkan peningkatan sepanjang 2026.

Buat pertama kali, pengguna membeli barangan seperti itu pada kadar lebih tinggi berbanding kumpulan produk lain, menurut peruncit berkenaan dalam emel pada 19 November.

“Gabungan tindakan kerajaan dan kebimbangan yang tersebar di media sosial menjadikan persediaan menghadapi kiamat sebagai sebahagian daripada tingkah laku pengguna arus perdana sejak beberapa bulan kebelakangan ini,” tulis Pegawai RBC Capital Markets, Nik Modi  dalam laporannya kelmarin.

Modi mengaitkan peningkatan pembelian itu dengan arahan kesiapsiagaan ketenteraan Pentagon pada akhir September yang disalah tafsir di media sosial dan diperbesarkan menerusi TikTok sebagai petanda kemungkinan gangguan bekalan elektrik selama 90 hari.

Selain itu, kempen kesiapsiagaan menghadapi kecemasan yang dilaksanakan di beberapa negara, termasuk Britain, Jepun, Jerman dan Norway, turut menyumbang kepada kebimbangan pengguna, menurut laporan itu.

“Media sosial menyebarkan mesej berkenaan ke seluruh dunia,” kata Modi.

Kebimbangan yang tersebar di alam maya itu terus meningkat susulan beberapa insiden sebenar yang mendorong pengguna mempersoalkan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem teknologi yang menjadi tunjang kehidupan moden.

Kebimbangan turut meningkat mengenai bagaimana perkembangan kecerdasan buatan (AI) berpotensi memberi kelebihan kepada pihak yang berniat jahat untuk mencetuskan kekacauan.

Minggu lalu, perkhidmatan emel Outlook dan beberapa aplikasi produktiviti lain milik Microsoft Corp mengalami gangguan akibat pepijat perisian.

Selepas itu, operasi penerbangan di seluruh AS turut terjejas apabila pesawat tidak dibenarkan berlepas susulan kegagalan sistem teknologi.

Secara tiba-tiba, pemegang akaun bank Chase pula menghadapi masalah memindahkan wang. Apple Inc turut berdepan masalah teknikal.

Malah, Agensi Keselamatan Negara (NSA) AS yang terkenal dengan program pengawasannya turut tidak terkecuali apabila rangkaian komputer sulit yang digunakan untuk komunikasi dalaman agensi itu mengalami gangguan.

Kerajaan segera menjelaskan bahawa insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain atau berpunca daripada tindakan pihak bermusuhan.

Namun, penjelasan berkenaan gagal meredakan kebimbangan yang tercetus, terutama selepas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat besar dan pakar keselamatan siber memberi amaran bahawa gangguan seumpama itu dijangka berterusan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini