TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran kepada Perancis supaya tidak terperangkap dalam helah atau operasi bendera palsu Israel selepas Paris menuduh unit siber Iran menyerang sistem penyejukan pasar raya di negara itu.
Jurucakap IRGC, Hossein Mohebbi menolak sekeras-kerasnya dakwaan terbabit sebagai tidak masuk akal dan menuduh rejim Israel mendalangi tuduhan itu bagi mencetuskan permusuhan serta meraih sokongan negara-negara Eropah terhadap Teheran.
Menerusi hantaran di platform media sosial X, Mohebbi mengingatkan Paris supaya berwaspada dengan muslihat Israel sambil menegaskan IRGC tidak pernah menyasarkan orang awam, berbeza dengan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Terdahulu, kerajaan Perancis secara rasmi mengaitkan siri serangan siber berkenaan dengan Shahid Kaveh, iaitu sebuah unit yang bernaung di bawah organisasi peperangan elektronik dan pertahanan siber IRGC.
Menurut Kementerian Luar Perancis, serangan siber yang berlaku pada malam 11 hingga 12 Oktober lalu itu menyasarkan sistem kawalan penyejukan di lebih 700 premis peruncitan dan pasar raya di seluruh negara.
Insiden pencerobohan sistem berkenaan dilaporkan mengakibatkan kerosakan infrastruktur yang meluas, kejadian kebakaran serta kerugian bekalan makanan bernilai puluhan juta euro.
Susulan kejadian itu, Paris mengumumkan rancangan untuk memanggil duta besar Iran bagi mendapatkan penjelasan selain menggesa pelaksanaan sekatan tambahan Kesatuan Eropah (EU) terhadap individu dan entiti Iran yang didakwa terlibat.
Sementara itu, Kementerian Luar Iran menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan berikrar akan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kepentingan serta keselamatan negara daripada sebarang tindakan luar yang menyalahi undang-undang.- ANADOLU











