Bessent heret China dalam serangan siber Perancis

Bessent heret China dalam serangan siber Perancis

PETI sejuk makanan segar yang kosong di sebuah pasar raya di Nevez, barat Perancis, susulan serangan siber yang menjejaskan rangkaian pasar raya Intermarché dan Cooperative U.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent, mengaitkan China dengan serangan siber yang melumpuhkan sistem peti sejuk di ratusan pasar raya di Perancis, dengan mendakwa model kecerdasan buatan (AI) negara itu digunakan dalam operasi berkenaan.

Beliau mendakwa, model AI China digunakan dalam serangan yang menjejaskan kira-kira 700 pasar raya serta bank darah di Perancis, sehingga memaksa pengusaha serta peruncit membuang bekalan makanan yang rosak.

“Saya tidak tahu siapa dalam kalangan anda yang mengetahui mengenai insiden peti sejuk di 150 pasar raya di Perancis yang dimatikan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia menggunakan model AI dari China. Mungkin ini senario yang paling buruk apabila Iran menggunakan model dari China. Ia benar-benar menggambarkan dunia hari ini bukan?,” katanya ketika berucap di Yayasan Heritage kelmarin.

Bessent turut memberi amaran model AI China berbahaya kerana tidak dilengkapi ciri kawalan keselamatan dalam versi teknologi berkenaan.

Kenyatan itu dilihat turut mengheret China dalam insiden berkenaan, meskipun Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, sebelum ini menuding jari kepada Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Serangan siber terhadap sistem penyejukan turut dilaporkan berlaku di pasar raya Belgium, Ireland, Sweden, Finland dan Estonia.

Bessent dijadualkan mengiringi Presiden AS, Donald Trump, dalam lawatan ke Asia minggu depan dan akan mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.

Serangan siber itu dilancarkan menerusi pengawal peti sejuk berpusat yang disambungkan ke internet bagi membolehkan kontraktor memantau suhu peralatan berkenaan dari jarak jauh.

Penyerang berjaya mengakses beberapa sistem itu sebelum mengubah tetapan operasi, sekali gus mencetuskan kitaran penyahbekuan berpanjangan sehingga menyebabkan suhu peti sejuk dan sejuk beku meningkat.- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini