WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent, terpaksa dipindahkan dari kediaman peribadi ke sebuah kem tentera berikutan ancaman bahaya ke atas nyawanya yang didakwa daripada Iran.
Laporan yang memetik tiga sumber memaklumkan pihak berkuasa AS membuat kesimpulan berhubung plot ancaman Iran terhadap pegawai dan bekas pegawai kanan kerajaan yang kini berada pada tahap membimbangkan.
Sejak Ogos lalu, Bessent menerajui kempen tekanan ekonomi bagi memulaukan Iran secara kewangan menerusi sekatan lebih tegas serta sekatan laluan perdagangan antarabangsa.
Peranan agresif yang dimainkan menjadikan Setiausaha Perbendaharaan terbabit sebagai antara sasaran utama yang paling ingin dicederakan oleh pihak pentadbiran Iran.
Meskipun tahap keseriusan ancaman terbabit secara fizikal belum diperincikan, pegawai keselamatan AS mengesahkan kemampuan Iran untuk melancarkan serangan berskala besar di AS adalah agak terhad.
Bagaimanapun, pihak berkuasa AS tetap memandang serius ancaman khusus serta bersasar terhadap individu tertentu, mengambil kira plot pembunuhan upahan yang pernah menyasarkan Donald Trump semasa kempen 2024.
Menerusi satu kenyataan rasmi, jurucakap Jabatan Perbendaharaan AS menegaskan Bessent tidak sesekali gentar dengan sebarang ancaman daripada Iran.
Kenyataan itu turut menambah beliau kekal komited untuk meneruskan kempen tekanan ekonomi ke atas Iran demi melumpuhkan punca kewangan negara terbabit.
Bessent merupakan pegawai kanan terbaharu dalam pentadbiran Trump yang terpaksa meninggalkan kediaman di sekitar Washington untuk berlindung di kem tentera atau kediaman kawalan khas.
Sekurang-kurangnya enam pegawai kanan telah mengambil langkah keselamatan serupa pada tahun 2025, termasuk Ketua Staf Rumah Putih, Stephen Miller serta bekas Peguam Negara, Pam Bondi. -AGENSI











