Indonesia kerah penduduk pulih tanah gambut

Indonesia kerah penduduk pulih tanah gambut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia meningkatkan usaha dengan bantuan penduduk kampung untuk membasahkan semula tanah gambut, membaiki sekatan terusan dan menanam semula tumbuh-tumbuhan bagi memulihkan ekosistem gambut yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah baru-baru ini, selain mengurangkan risiko kebakaran pada masa hadapan.

Ketua Badan Pengurusan Gambut dan Bakau Kebangsaan (BPGMN), Satyawan Pudyatmoko berkata, pemulihan tahap kelembapan tanah penting bagi mencegah kebakaran kerana gambut yang kering mudah terbakar.

“Salah satu cara memulihkan ekosistem gambut supaya dapat berfungsi dengan baik adalah melalui proses membasahkan semula tanah,” katanya kepada pemberita di Jakarta pada Isnin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menjelaskan, proses itu melibatkan pembinaan sekatan terusan, penyaluran air dari sungai ke kawasan gambut yang terjejas serta penanaman tumbuh-tumbuhan bagi melindungi permukaan tanah daripada pancaran matahari secara langsung.

Kerajaan merancang membina lebih banyak sekatan terusan selain membaiki struktur kayu sedia ada yang mengalami kerosakan atau kebocoran selepas digunakan selama tiga hingga lima tahun.

Pudyatmoko berkata, pihak berkuasa akan bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi mengawal paras air dan mengelakkan kejadian banjir setempat di kawasan penempatan.

Selain pemulihan hidrologi, kerajaan turut memperkenalkan kaedah pertanian tanah lembap atau paludikultur, termasuk penanaman nanas, lidah buaya dan sagu di tanah milik masyarakat bagi menjana pendapatan tanpa perlu mengeringkan kawasan gambut.

Taman negara dan kawasan pemuliharaan yang terbakar pula akan ditanam semula dengan spesies tumbuhan tempatan.

Beliau berkata, kampung akan menjadi barisan pertahanan utama dalam usaha mencegah kebakaran hutan menerusi sistem pengesanan titik panas yang dihubungkan dengan sumber pasukan pemadam kebakaran setempat.

Kerajaan juga sedang menilai pemberian insentif kewangan dan operasi kepada kampung yang berjaya mencegah kebakaran, sebagai usaha memperkukuh pemulihan ekosistem menjelang jangkaan fenomena El Niño kuat pada 2029 atau 2030.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini