KUALA LUMPUR: Kegagalan menjelaskan ansuran CP500 tidak menyebabkan pembayar cukai dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, liabiliti cukai sebenar hanya ditentukan setelah pembayar cukai mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran yang berkenaan.
“Berdasarkan BNCP yang dikemukakan, jumlah cukai sebenar akan dihitung semula dengan menolak bayaran ansuran CP500 yang telah dibuat.
“Sekiranya masih terdapat baki cukai yang kena dibayar dan pembayar cukai gagal menjelaskannya dalam tempoh yang ditetapkan, baki tersebut diklasifikasikan sebagai tunggakan cukai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (DAP-Raub) meminta menteri menyatakan sama ada Lembaha Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhak menyekat perjalanan individu ke luar negara kerana tunggakan CP500.
Mengulas lanjut, katanya lagi, tindakan mengenakan sekatan perjalanan ini bukan bertujuan untuk menafikan hak mana-mana pihak untuk bergerak.
“Namun, ia dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan undang-undang percukaian terhadap individu atau pengarah syarikat yang mempunyai tunggakan cukai dan memastikan cukai yang terhutang kepada Kerajaan dapat dikutip demi pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN











