Caj tersembunyi: Peniaga wajib papar harga termasuk semua caj

Caj tersembunyi: Peniaga wajib papar harga termasuk semua caj

ARMIZAN MOHD. ALI- JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga barangan dan perkhidmatan yang dipaparkan atau diiklankan mesti merangkumi semua cukai, duti serta caj lain yang hendak dikenakan, bukan hanya dimaklumkan kepada pengguna pada peringkat akhir transaksi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kewajipan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 10B(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, amalan mengenakan caj tambahan atau tersembunyi sehingga harga sebenar melebihi harga dipaparkan bukan sahaja mengelirukan malah menjejaskan hak pengguna untuk mengetahui harga sebenar dan membuat keputusan pembelian secara telus serta bermaklumat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bermakna pengguna hendaklah dapat melihat harga yang perlu dibayar dan bukan hanya mengetahui kewujudan caj-caj tertentu di peringkat akhir transaksi,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai tindakan membendung caj tambahan atau tersembunyi yang hanya dimaklumkan pada peringkat akhir transaksi khususnya dalam sektor perkhidmatan, makanan dan minuman serta urus niaga dalam talian.

Armizan berkata, prinsip tersebut turut diperkukuh melalui Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Harga Terangkum khususnya bagi sektor makanan dan minuman serta transaksi e-dagang dan penghantaran.

Menurut beliau, harga akhir yang dipaparkan perlu mengambil kira komponen seperti harga asas, caj perkhidmatan dan caj penghantaran sebelum pengguna mengesahkan tempahan.

“Pelanggaran Seksyen 10B boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57 akta sama, dengan denda sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan.

“Bagi individu pula, hukuman ialah denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, Armizan berkata, Seksyen 12(1)(a), Akta Perlindungan Pengguna 1999 melarang peniaga memberikan gambaran mengelirukan mengenai harga barangan atau perkhidmatan.
Katanya, Seksyen 12(3)(c) akta sama memperuntukkan bahawa gambaran harga adalah mengelirukan sekiranya harga dipaparkan memberi tanggapan merangkumi semua perkara, sedangkan caj tambahan dikenakan secara berasingan.

“Seksyen 9 dan Seksyen 10 turut melarang perlakuan atau representasi palsu dan mengelirukan berkaitan sifat serta ciri barangan atau perkhidmatan, termasuk dalam urus niaga elektronik.

“Pelanggaran peruntukan berkaitan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 145 akta itu, iaitu denda sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Tambah beliau, KPDN turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang menghendaki senarai perkhidmatan serta caj dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat.

“Pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan peniaga mematuhi peruntukan berkaitan penzahiran harga.

“Pengguna juga diseru menyemak harga akhir sebelum membuat pembayaran serta menyalurkan aduan kepada kementerian sekiranya terdapat caj tersembunyi atau percanggahan antara harga diiklankan dengan harga dikenakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini