Pelabur asing perlu libatkan syarikat, rakyat tempatan

Pelabur asing perlu libatkan syarikat, rakyat tempatan

FADILLAH Yusof bersama Ab. Rauf melawat pameran pada Persidangan CGNI Gas Turbine Power Comittee 2026 di Pusat Inovasi EDRA, Melaka hari ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa pelabur asing supaya tidak hanya membawa masuk modal dan teknologi sebaliknya terus memperluaskan penglibatan syarikat tempatan serta melaksanakan pemindahan teknologi ke negara ini.

Menurutnya, pelaburan yang berjaya seharusnya meninggalkan sumbangan berkekalan kepada negara tuan rumah termasuk melalui pembangunan pembekal tempatan, peluang dalam bidang kejuruteraan dan latihan tenaga kerja berkemahiran.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, usaha melatih tenaga kerja tempatan amat penting bagi memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi malah mampu memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik serta meningkatkan pendapatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, sesebuah pelaburan yang berjaya tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan nilai modal atau skala projek yang dibawa masuk sebaliknya perlu meninggalkan sumbangan berkekalan terhadap pembangunan keupayaan negara tuan rumah.

Beliau berkata, peningkatan keupayaan tempatan juga akan membolehkan Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam menyumbang kepada usaha memperkukuh keselamatan tenaga di peringkat serantau.

“Saya mengharapkan lebih banyak syarikat dan pelabur dari luar apabila melabur di Malaysia, bukan sahaja mencari rakan kongsi tempatan tetapi melibatkan keseluruhan rantaian nilai daripada aspek pembekalan dan sebagainya serta memberi keutamaan kepada orang tempatan.

“Pada masa yang sama, mereka perlu melatih tenaga tempatan supaya kita dapat melaksanakan pemindahan teknologi dan meninggalkan sesuatu yang berkekalan di negara ini,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Tahunan Jawatankuasa Penjanaan Kuasa Turbin Gas CGNEI 2026 di Pusat Latihan EPH di Loji Janakuasa Edra Melaka (EMPP), di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi CGN Energy International Holdings Co. Limited (CGNEI), Zhang Chaoqun.

Persidangan itu menghimpunkan seramai 120 pemimpin industri, jurutera dan rakan teknologi dari lima buah negara bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan industri tenaga serta teknologi penjanaan kuasa.

Fadillah berkata, Malaysia mengiktiraf sumbangan pelabur serta rakan antarabangsa dalam memperkukuh sektor tenaga negara.

Katanya, kerjasama jangka panjang dengan syarikat antarabangsa bukan sahaja mampu membawa masuk modal dan teknologi malah menyediakan pengalaman operasi yang boleh memberi manfaat kepada syarikat tempatan serta tenaga profesional Malaysia.

“Hubungan ini akan menjadi lebih kukuh apabila wujud kepercayaan bersama, penghormatan terhadap keupayaan tempatan dan komitmen untuk mencipta nilai yang berkekalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaburan Edra membuktikan pentingnya peranan pelabur dalam memastikan sistem bekalan elektrik negara terus kukuh dan berdaya tahan.

Katanya, Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan Edra di Melaka dengan kapasiti terpasang sebanyak 2,242 megawatt merupakan antara aset penting dalam menyokong bekalan elektrik negara.

Namun, katanya, nilai sebenar sesebuah kemudahan penjanaan tenaga bukan hanya terletak pada kapasiti dan skala infrastrukturnya.

“Nilai jangka panjangnya bergantung kepada operasi yang selamat, prestasi yang andal serta kepakaran tenaga kerja yang memastikan kemudahan itu terus berfungsi dengan baik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha memperkukuh ekosistem tempatan perlu diberikan perhatian termasuk melalui pembangunan syarikat pembekal tempatan dan penyediaan peluang lebih luas kepada rakyat Malaysia dalam bidang kejuruteraan serta teknologi tenaga.

Beliau berkata, pemindahan teknologi juga perlu dilaksanakan secara lebih bermakna supaya kepakaran yang dibawa masuk melalui pelaburan asing dapat membantu membangunkan keupayaan tempatan dalam jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini