KUALA TERENGGANU : Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembelian panik menjelang Monsun Timur Laut (MTL) kerana bekalan barangan keperluan asas di Terengganu dijamin mencukupi,termasuk dengan penyediaan stok tambahan sebanyak 30 peratus.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, pihaknya telah mengambil langkah awal bagi memastikan kelancaran bekalan barangan keperluan di seluruh negeri sepanjang musim tengkujuh.
Katanya, antara langkah dilaksanakan adalah melantik 100 pemborong terpilih dan 170 peruncit sebagai pemegang stok mini bagi memastikan bekalan dapat disalurkan kepada penduduk khususnya di kawasan yang berisiko terputus hubungan akibat banjir.
“Semua peruncit terpilih dibenarkan menyimpan stok tambahan sehingga 30 peratus daripada bekalan biasa bagi memastikan keperluan pengguna sentiasa mencukupi. Justeru, orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik kerana bekalan sedia ada mencukupi dan kita juga mempunyai stok tambahan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya pada program Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2026 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Mohd. Mufsi berkata, KPDN Terengganu turut mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di setiap cawangan dengan melanjutkan waktu operasi sehingga pukul 10 malam berbanding 6 petang sebelum ini sepanjang tempoh MTL.
Katanya, orang ramai, peniaga dan agensi berkaitan boleh menghubungi ECC sekiranya berdepan masalah bekalan, kenaikan harga tidak munasabah atau mengesan aktiviti penyorokan barangan kawalan. – UTUSAN











