UMT lonjak 21 anak tangga, raih kedudukan terbaik dalam QS Asia

UMT lonjak 21 anak tangga, raih kedudukan terbaik dalam QS Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melonjak 21 anak tangga ke kedudukan ke-139 dalam QS Asia University Rankings (QS AUR) 2027.

Kedudukan itu merupakan pencapaian terbaik UMT sejak menyertai penarafan berkenaan.

Menurut UMT, universiti itu berada di kedudukan ke-160 pada edisi sebelumnya dan peningkatan itu meletakkan UMT dalam kelompok lapan peratus universiti terbaik Asia dalam penarafan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

UMT berkata, universiti itu memperoleh skor penuh 100 bagi kedua-dua indikator pertukaran pelajar masuk dan keluar, sekali gus berada dalam kelompok 50 terbaik Asia bagi setiap indikator.

“Lebih 10 peratus pelajar UMT telah menyertai program pertukaran di luar negara, manakala lebih 1,000 pelajar antarabangsa memilih UMT untuk mendapatkan pengalaman akademik dan merasai kehidupan kampus di Malaysia.

“Dalam aspek penyelidikan, UMT berada dalam kelompok 100 terbaik Asia bagi indikator Jaringan Penyelidikan Antarabangsa dengan skor 96.6, manakala indikator staf berkelulusan doktor falsafah (PhD) mencatat skor 98.2,” katanya dalam kenyataan.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha universiti memperkukuh kecemerlangan akademik dan pengantarabangsaan sambil memastikan bidang tujahan UMT kekal relevan dengan keperluan negara dan perkembangan global.

“UMT mempunyai kekuatan dan identiti yang jelas dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik. Kekuatan ini perlu terus diperkasakan melalui pengembangan kepakaran akademik, penyelidikan berimpak tinggi serta kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, UMT akan terus memperluas peluang mobiliti pelajar dan memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa bagi memberi pendedahan akademik global kepada mahasiswa, selain memastikan kepakaran, hasil penyelidikan dan inovasi universiti dapat dimanfaatkan oleh industri, masyarakat serta negara. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini