KPM tidak bercadang wujud jawatan tetap kerani digital

KPM tidak bercadang wujud jawatan tetap kerani digital

FADHLINA SIDEK- JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang mewujudkan jawatan tetap kerani digital di sekolah pada masa ini kerana melibatkan implikasi perjawatan dan kewangan yang besar.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kementerian akan terus meneliti dan memperkukuh pendekatan lebih bersasar, praktikal serta mampan bagi menangani beban tugas guru tanpa menjejaskan kecekapan pengurusan sekolah.

Katanya, KPM telah menempatkan seramai 564 personel MySTEP Pembantu Guru (MyPG) di 282 sekolah menengah harian yang mempunyai enrolmen tinggi sejak tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penempatan ini bertujuan membantu melaksanakan tugasan perkeranian, pengurusan peperiksaan serta urusan sokongan program sekolah.

“Ini sekali gus mengurangkan penglibatan guru dalam tugasan pentadbiran yang tidak berkaitan secara langsung dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berhubung cadangan mewujudkan jawatan tetap kerani digital di sekolah bagi menguruskan pengisian data sekali gus mengurangkan beban tugas bukan mengajar guru.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kerajaan mengumumkan peluasan program MyPG ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi di seluruh negara menerusi Belanjawan 2027 bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.

Katanya, berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru memikul tanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“KPM komited untuk terus menambah baik ekosistem pendidikan melalui pelbagai inisiatif yang dapat memperkasakan profesion keguruan.

“Usaha ini bertujuan membolehkan guru memberi fokus sepenuhnya kepada peningkatan kualiti pengajaran, pembelajaran dan pencapaian murid,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini