Teori asal kehidupan di bumi silap - Utusan Malaysia

Teori asal kehidupan di bumi silap

KOMET berais didakwa membawa sejumlah bahan kimia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Saintis menemui pe­nemuan yang berpotensi merombak teori yang telah diterima selama beberapa dekad mengenai bagaimana kehidupan bukan manusia bermula di bumi.

Bagi membolehkan hidupan muncul daripada bahan kimia bukan hidup, bumi memerlukan bekalan molekul organik dan keadaan yang sesuai untuk membolehkan bahan-bahan itu bergabung.

Antara teori paling popular bagi menjelaskan asal usul bekalan bahan tersebut ialah komet berais membawa sejumlah besar bahan kimia berkepekatan tinggi secara langsung ke permukaan bumi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, penyelidik dari Universiti Cambridge kini berpendapat teori itu amat sukar untuk berlaku.

Masalahnya, sebahagian besar komet bergerak terlalu pantas dan memasuki atmosfera pada sudut terlalu curam untuk bertahan daripada hentaman.

Komet bersaiz kecil akan ber­kecai akibat kejutan mendadak, manakala molekul orga­nik rapuh di dalamnya hampir pasti mengewap ketika hentaman.

Ini bermakna penghantaran bahan asas kehidupan oleh komet, paling baik sekalipun, hanya satu kejadian luar biasa yang berlaku sekali-sekala, bukannya hujan berterusan bahan mentah seperti yang dibayangkan sebelum ini.

Penulis utama kajian, Dr Richard Anslow dari Institut Astronomi Cambridge berkata: “Ia satu idea yang agak romantik, tetapi hasil kajian kami menunjukkan bahawa perkara itu amat sukar untuk berlaku.”

Bagi memahami bagaimana hidupan muncul, saintis perlu mengenal pasti sumber molekul yang dikenali sebagai bahan asas dan bagaimana molekul-molekul itu bergabung.

Bagaimanapun, usaha untuk mengetahui bagaimana bahan asas kehidupan itu boleh terkumpul sehingga mencapai kepekatan yang mencukupi terbukti mencabar.

Anslow memberitahu Daily Mail: “Komet muncul sebagai mekanisme penghantaran yang berpotensi berdasarkan pemerhatian terhadap komet dalam Sistem Suria, yang menunjukkan kandungan bahan kimia kaya karbon dan nitrogen, yang dipercayai penting bagi kemunculan kehidupan.” – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini