AS catat kempen pilihan raya termahal dalam sejarah - Utusan Malaysia

AS catat kempen pilihan raya termahal dalam sejarah

PERBELANJAAN kempen pilihan raya pertengahan penggal mencecah hampir RM48.89 bilion. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kempen pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) dijangka menjadi yang paling mahal dalam sejarah, dengan jumlah perbelanjaan diunjurkan mencecah hampir AS$12 bili­on (RM48.89 bilion), menurut Open Secrets, sebuah organisasi bebas yang memantau pembiayaan kempen politik.

Sebahagian besar perbelanjaan itu didorong kumpulan politik luar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Tindakan Politik Super (Super PAC), yang menyalurkan sejumlah besar wang di kawasan  pilihan raya penting menjelang proses pengundian pada 3 November.

Penderma individu terbesar ialah bilionair Elon Musk, yang membelanjakan hampir AS$500 juta (RM2.03 bilion) bagi menyokong calon Republikan, khususnya di Texas, tempat banyak syarikat miliknya beroperasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdapat peraturan yang menetapkan had sumbangan individu, parti dan Jawatankuasa Tindakan Politik (PAC) kepada calon secara langsung.

Bagaimanapun, Super PAC boleh menerima sumbangan tan­­pa had daripada individu, syarikat, kesatuan sekerja dan jawatankuasa politik lain. Kumpulan itu tidak boleh menyalurkan wang secara langsung kepada calon. Namun, kumpulan itu boleh membelanjakannya bagi menyokong calon secara tidak langsung.

Menurut laporan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC) yang meliputi sehingga pertengahan Oktober, lebih AS$9.5 bilion (RM38.71 bilion) dibelanjakan dalam kitaran pilihan raya pertengahan penggal kali ini.

PAC dan Super PAC menyumbang lebih separuh daripada jumlah itu, iaitu kira-kira AS$5.5 bilion (RM22.4 bilion), dengan perbelanjaan kedua-dua kumpulan berkenaan hampir berganda dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Open Secrets mengunjurkan jumlah perbelanjaan mencecah AS$11.9 bilion (RM48.49 bilion) berdasarkan trend kitaran pilihan raya terdahulu. Angka itu kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding jumlah perbelanjaan pada pilihan raya pertengahan penggal 2022.

“Syarikat mata wang kripto juga aktif dalam kitaran pilihan raya kali ini, dengan Ripple dan Coinbase menyumbang sejumlah AS$63 juta (RM256 juta) bagi membiayai Super PAC yang memperjuangkan kepentingan industri kripto,” kata Pengarah Analisis Open Secrets, Brendan J Glavin.

Menurut badan pemikir berhaluan liberal, Brennan Center for Justice, 40 penderma terbesar menyumbang AS$2.4 bilion (RM9.8 bilion) sehingga 14 Oktober, sekali gus mencatatkan rekod tertinggi bagi tempoh itu dalam kitaran pilihan raya pertengahan penggal.

Selain individu, organisasi juga boleh menyumbang kepada PAC. Sebagai contoh, Geosor Corp dan Fund for Policy Reform, yang kedua-duanya diasaskan oleh jutawan kewangan George Soros, menyumbang sejumlah AS$102 juta (RM415 juta) kepada kumpulan liberal.

Selain Soros, bekas Datuk Bandar New York dan ahli perniagaan Michael Bloomberg merupakan penderma terbesar Demokrat, dengan sumbangan melebihi AS$60 juta (RM244.5 juta).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini