KEPUTUSAN kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze ketika menjalankan urusan rasmi atas pertimbangan keselamatan data membuka ruang kepada satu perbincangan penting tentang kedaulatan digital negara.
Dalam era apabila data menjadi aset strategik, kebimbangan terhadap pengumpulan maklumat lokasi, pergerakan pengguna dan bidang kuasa undang-undang asing sememangnya tidak boleh dipandang ringan.
Namun, sesuatu dasar keselamatan digital yang melibatkan jutaan pengguna dan amalan kerja harian perlu disusuli dengan penjelasan yang jelas, penilaian risiko yang telus dan panduan pelaksanaan yang praktikal.
Persoalannya bukan semata-mata sama ada Waze patut digunakan atau dihentikan. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana kerajaan memastikan setiap keputusan berkaitan teknologi dibuat berasaskan penilaian keselamatan yang kukuh, bukannya sekadar persepsi terhadap asal usul sesebuah aplikasi.
Kebimbangan terhadap keselamatan data wajar diberikan perhatian. Aplikasi navigasi boleh mengendalikan maklumat lokasi, perjalanan dan corak pergerakan pengguna. Jika dikaitkan dengan urusan rasmi kerajaan, maklumat tertentu berpotensi mendedahkan rutin pegawai atau lokasi yang sensitif. Justeru, langkah berjaga-jaga bagi melindungi maklumat kerajaan mempunyai asas yang munasabah.
Penjawat awam perlu melihat arahan tersebut sebagai sebahagian daripada tanggungjawab profesional untuk menjaga keselamatan maklumat. Pematuhan terhadap dasar keselamatan digital bukan sekadar soal disiplin, tetapi juga kesedaran bahawa penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam membawa tanggungjawab yang lebih besar.
Kerajaan turut menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu. Inisiatif ini berpotensi menyokong pembangunan teknologi negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap penyedia asing.
Jika kerajaan mahu penjawat awam beralih kepada alternatif tertentu, pengguna perlu diberikan maklumat yang mencukupi, panduan penggunaan dan sokongan teknikal. Penilaian berkala juga penting bagi memastikan aplikasi yang disyorkan benar-benar memenuhi keperluan pengguna dalam pelbagai keadaan perjalanan.
Lebih penting, isu ini tidak seharusnya terhenti pada Waze sahaja. Banyak aplikasi yang digunakan dalam urusan harian dan pekerjaan melibatkan data peribadi atau maklumat organisasi, termasuk aplikasi penyimpanan awan, komunikasi, kecergasan dan platform produktiviti. Kerajaan wajar membangunkan kerangka penilaian keselamatan digital yang konsisten, berdasarkan jenis data, tahap sensitiviti, amalan pengendalian maklumat dan bidang kuasa undang-undang yang terpakai.
Pendekatan sedemikian akan membantu memastikan dasar keselamatan tidak dilaksanakan secara terpisah-pisah, sebaliknya menjadi sebahagian daripada budaya digital yang lebih menyeluruh dalam perkhidmatan awam.
Sebagai pendidik yang melihat teknologi sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan dan memperluas peluang, saya berpandangan bahawa literasi digital perlu menjadi sebahagian daripada pembangunan profesional penjawat awam. Pengguna bukan sahaja perlu tahu menggunakan sesuatu aplikasi, tetapi juga memahami kebenaran akses yang diberikan, risiko perkongsian data, tetapan privasi dan tanggungjawab melindungi maklumat rasmi.
Akhirnya, kedaulatan digital tidak dapat dibina melalui larangan semata-mata. Ia memerlukan dasar yang jelas, penilaian risiko berasaskan bukti, alternatif yang boleh dipercayai dan pengguna yang celik keselamatan digital.
Larangan Waze boleh menjadi titik permulaan kepada usaha lebih besar untuk memperkukuh keselamatan data negara. Dalam dunia yang semakin bergantung pada teknologi, matlamat kita bukan sekadar mengelakkan aplikasi tertentu, tetapi memastikan setiap teknologi yang digunakan dalam perkhidmatan awam memenuhi keperluan keselamatan, kecekapan dan kepentingan rakyat. –UTUSAN
DR. HAIDA UMIERA HASHIM
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










