PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang bertujuan menghapuskan peruntukan mengekang kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan akan dibentangkan di Parlimen pada Disember ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui menerusi mesyuarat Jemaah Menteri semalam susulan cadangan dikemukakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meminda akta berkenaan.
Katanya, pindaan itu akan memberi tumpuan khusus kepada seksyen yang dilihat mengekang kebebasan mahasiswa, termasuk dalam aspek bersuara dan berpersatuan. Selain itu, Jemaah Menteri turut bersetuju supaya satu akta baharu dibangunkan bagi menggantikan AUKU sepenuhnya dalam tempoh munasabah.
“Jemaah Menteri bersetuju supaya Menteri Pendidikan Tinggi membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan AUKU untuk dibawa ke Parlimen pada bulan Disember ini.
“Ia untuk meminda AUKU, khususnya peruntukan seksyen yang mengekang kebebasan mahasiswa,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini semalam.
Mengenai sasaran penggubalan akta baharu bagi menggantikan AUKU sepenuhnya, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, proses berkenaan dijangka mengambil sedikit masa dan disasarkan dapat dilaksanakan tahun depan.
Katanya, KPT perlu mengambil kira beberapa perkara baharu, khususnya berkaitan kaedah pengurusan universiti sebelum akta baharu itu dapat dibangunkan.
“Proses membawa akta yang akan menggantikan sepenuhnya aspek-aspek terutama pendaftaran, penyenaraian, pengurusan universiti dan sebagainya itu akan mengambil sedikit masa kerana pihak KPT perlu mengambil kira beberapa perkara baharu mungkin dalam cara menguruskan universiti.
“Kita jangkakan pada tahun 2027, tapi belum dinyatakan dalam mesyuarat yang mana dalam tahun depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan supaya masalah dihadapi pengguna platform e-dagang diberi keutamaan dan ditangani segera, khususnya berkaitan caj komisen tinggi dan penipuan dalam urus niaga dalam talian.
Katanya, masalah dibangkitkan Perdana Menteri itu turut meliputi aduan pengguna yang menerima produk tidak seperti dipesan menerusi platform berkenaan.
Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta mengambil tindakan terhadap isu berkenaan.
“Perdana Menteri membangkitkan keprihatinan mengenai masalah dihadapi pengguna yang menggunakan platform e-dagang berkaitan fi komisen tinggi yang dikenakan kepada penjual atau produk dibeli dan diterima tetapi tidak seperti ditempah,” katanya. – UTUSAN











