KUALA LUMPUR: Prudential Malaysia melabur dan menyalurkan lebih RM179.5 juta bagi inisiatif tanggungjawab korporat dan keterangkuman kewangan di Malaysia sepanjang 2014 hingga 2025.
Pelaburan itu dilaksanakan secara kolektif menerusi Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), Prudential BSN Takaful (PruBSN) dan Eastspring Investments Malaysia (EIMY).
Ia merangkumi usaha meningkatkan literasi dan perlindungan kewangan masyarakat, khususnya komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan, selain memperkukuh keselamatan kewangan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, usaha membina ekonomi Malaysia yang berdaya tahan perlu disertai pengukuhan daya tahan kewangan dalam kalangan rakyat.
“Daya tahan kewangan tidak terbina melalui dasar semata-mata. Sebaliknya, daya tahan ini dibentuk oleh individu melalui setiap keputusan yang dibuat dari semasa ke semasa.
“Cara kita menyimpan wang, meminjam, melindungi diri dan melabur membentuk keupayaan kita untuk menghadapi cabaran yang tidak dijangka serta membuat keputusan hari ini yang memberikan kita lebih banyak pilihan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Komitmen itu diteruskan menerusi pelancaran Levela, platform pendidikan kewangan percuma yang dibangunkan Prudence Foundation bagi membantu golongan muda meningkatkan keupayaan mengurus kewangan dan membuat keputusan berdasarkan maklumat.
Golongan muda kini berdepan keputusan kewangan yang semakin kompleks, termasuk mengurus pendapatan pertama, penggunaan pembayaran digital, kemudahan kredit, tanggungjawab hutang serta tawaran beli sekarang, bayar kemudian (BNPL).
Mereka juga berdepan risiko penipuan dalam talian selain perlu merancang simpanan dan perlindungan kewangan untuk jangka panjang.
Sehubungan itu, Levela direka khusus untuk pelajar universiti, golongan profesional muda dan individu yang baru melangkah ke arah kebebasan kewangan dengan memberi tumpuan kepada kemahiran praktikal pengurusan wang.
Platform itu boleh diakses menerusi laman web dan aplikasi mudah alih dalam enam bahasa, manakala kandungan patuh Syariah disediakan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.
Ia turut menyediakan akses luar talian bagi membolehkan masyarakat berpendapatan rendah dan komuniti yang mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan digital mendapat manfaat daripada kandungan pendidikan kewangan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Prudence Foundation, Nicole Ngeow berkata, pendidikan kewangan tidak seharusnya terhad kepada pengajaran cara menguruskan wang, sebaliknya perlu memperkasa masyarakat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat.
“Melalui Levela, kita memberikan golongan dewasa muda keyakinan untuk membuat keputusan yang tepat tentang perbelanjaan, simpanan, pinjaman dan cara melindungi diri daripada risiko.
“Dengan menjadikan pendidikan kewangan mudah diakses, praktikal dan relevan dengan kehidupan mereka, kami berharap dapat membantu generasi baharu membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat dan mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap masa depan kewangan mereka,” katanya.
Dibangunkan dengan sokongan penyelidikan Centre for Financial Inclusion di Accion, Levela memberi tumpuan kepada enam bidang kewangan peribadi, termasuk penyediaan bajet dan pengurusan aliran tunai, simpanan serta dana kecemasan, kredit dan pengurusan hutang.
Ia turut merangkumi pengurusan risiko dan insurans atau takaful, penetapan matlamat dan perancangan kewangan serta pencegahan penipuan dan keselamatan digital.
Levela melengkapi program pendidikan kewangan Cha-Ching oleh Prudence Foundation yang memperkenalkan konsep asas kewangan dan kemahiran pengurusan wang kepada murid sekolah. –UTUSAN










