Bekas jurucakap akui Israel manipulasi fakta Gaza - Utusan Malaysia

Bekas jurucakap akui Israel manipulasi fakta Gaza

HAMPIR keseluruhan bangunan musnah akibat serangan Israel di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Tentera Israel memanipulasi fakta berhubung perang di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki. Ia didedahkan oleh bekas jurucakap unit tentera itu yang  mendedahkan peranannya secara langsung dalam memilih dan  mengubah maklumat yang disampaikan kepada media.

Ayelet Kroizer berkata, rak­yat Palestin yang tidak bersalah sering dilabel sebagai ‘pengganas’. Katanya, kenyataan rasmi sengaja disesuaikan untuk meraih sokongan rakyat Israel dan mendapatkan legitimasi antarabangsa terhadap perang yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Kroizer mendedahkan perkara itu menerusi kenyataan terbuka di platform X ketika mengumumkan pelantikannya sebagai jurucakap Breaking the Silence, sebuah pertubuhan Israel yang mengumpulkan dan mendokumentasikan kesaksian bekas anggota tentera mengenai salah laku ketenteraan di wilayah Palestin yang diduduki.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sepanjang perkhidmatan, saya memanipulasi maklumat yang disampaikan kepada media. 

“Saya melihat bagaimana perkataan ‘pengganas’ turut digunakan terhadap rakyat Pa­lestin yang tidak bersalah dan bagaimana kenyataan disesuaikan mengikut kumpulan sasaran serta objektif yang ingin dicapai,” tulisnya.

Kroizer berkata, pengalamannya dalam perkhidmatan itu bukan sahaja mendedahkannya kepada keadaan sebenar di lapangan, malah bagaimana pihak tentera memilih untuk menggambarkan situasi berkenaan kepada umum.

Beliau menuduh unit jurucakap tentera mengendalikan fakta seperti sebuah firma perhubungan awam, bukannya institusi awam.

Katanya, ketika berkomunikasi dengan masyarakat Israel, matlamat unit itu adalah untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap angkatan tentera, manakala hak orang ramai untuk mengetahui kebenaran sekurang-kurangnya menjadi perkara kedua.

Sementara itu, kenya­taan yang ditujukan kepada masyarakat antarabangsa pula bertujuan membentuk gambaran bagi mendapatkan legitimasi terhadap tindakan tentera.

Beliau turut mendedahkan bagaimana pengumuman me­ngenai jumlah korban besar-besaran dalam serangan sering disertakan dengan kenyataan penafian standard.

“Saya belajar bagaimana melaporkan puluhan kematian dalam satu serangan dan secara automatik menambah bahawa kami kesal atas sebarang kece­deraan terhadap individu yang tidak terlibat.

“Itulah rutin sepanjang perkhidmatan saya. 

“Saya tidak pernah pandai berdiam diri apabila berdepan ketidakadilan, tetapi di sini. Saya diminta melakukan kerja perhubungan awam untuk perkara itu,” katanya.

Kroizer yang dibesarkan dalam komuniti Yahudi ultra-Ortodoks menarik balik penge­cualiannya daripada perkhidmatan ketenteraan tiga tahun lalu untuk menyertai tentera ketika perang bermula, kerana percaya beliau sedang mempertahankan negaranya.

Beliau turut menggesa bekas anggota tentera lain supaya tampil mendedahkan pengalaman masing-masing.

“Jika anda berkhidmat sepanjang perang ini, jangan berdiam diri juga,” tulisnya.

Sejak Oktober 2023, perang Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 175,000 yang lain selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di wilayah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini