GEORGE TOWN: Meskipun sambutan Deepavali kini semakin hampir, masih ramai dalam kalangan penganut agama Hindu di Pulau Pinang belum memulakan persiapan untuk menyambut perayaan itu, Ahad ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi tumpuan seperti Little India di sini mendapati, jumlah pengunjung boleh dibilang dengan jari sahaja manakala kebanyakan peniaga pula masih boleh berehat sementara menunggu kedatangan pelanggan.
Seorang peniaga, S. Karan Nair, 55, berkata, dia menjangka persiapan menyambut Deepavali akan mulai meriah menjelang petang Jumaat sehingga malam Sabtu ini memandangkan perayaan tersebut akan disambut pada hari Ahad.
“Biasanya macam itulah. Minggu ini baru saya nampak ada orang datang. Mungkin baru lepas dapat gaji. Tunggu Jumaat ini tengok macam mana,” katanya.
S. Karan berkata, memandangkan lokasi di situ agak sempit, pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) disaran tidak membiarkan kenderaan diletakkan merata-rata sehingga menganggu lalu lintas termasuk pengunjung yang mahu membeli-belah sempena Deepavali di situ.
“Saya rasa peniaga lain pun menghadapi masalah yang sama. Sudahlah jalan sempit, tempat letak kereta pun terhad, ‘parking’ pula merata-rata. Memang mengundang masalah,” katanya.
Bagi pengunjung, L. Durgaram, 37, meskipun menghadapi masalah parkir, dia dan keluarga telah biasa ke Little India menjelang sambutan Deepavali pada setiap tahun.
“Di sini (Little India) ada semua barangan yang kami perlukan sama ada makanan, perhiasan atau peralatan sembahyang. Jadi, buat apa perlu pergi ke tempat lain?
“Sesak sekali-sekala itu biasalah. Di ‘Penang’ ini dekat mana-mana pun sesak,” katanya yang tinggal di Permatang Pauh.
Seorang pagi pengunjung S. Sashi, 45, berkata, dia memilih untuk membuat persiapan lebih awal tanpa perlu menunggu hujung minggu untuk berbuat demikian.
“Sementara ada duit dan ada masa yang terluang, baik saya beli apa yang perlu terlebih dahulu. Kalau hendak tunggu Sabtu baru hendak buat persiapan, kalutlah,” kata guru Bahasa Inggeris itu lagi. – UTUSAN











