PETALING JAYA: Liga Wanita Nasional (LWN) perlu terus diperluas bagi membuka lebih banyak ruang kepada pemain wanita mengembangkan bakat, sekali gus melahirkan barisan pemain berkualiti untuk memperkuat skuad kebangsaan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, penganjuran LWN yang memasuki edisi keempat tahun ini memainkan peranan penting dalam menyediakan pertandingan lebih tersusun dan kompetitif buat pemain wanita negara.
Menurutnya, liga berkenaan bukan sekadar medan persaingan antara kelab, malah menjadi platform untuk pemain menimba pengalaman, meningkatkan mutu permainan dan membuktikan kemampuan masing-masing.
“Saya melihat penganjuran Liga Wanita Nasional yang telah memasuki edisi keempat tahun ini sebagai satu inisiatif yang sangat penting dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak wanita di Malaysia.
“Liga seperti ini bukan sekadar menyediakan platform pertandingan, tetapi turut memberi peluang kepada pemain menimba pengalaman, meningkatkan kualiti permainan dan membuktikan kemampuan masing-masing dalam suasana yang lebih kompetitif,” katanya kepada media.
Justeru, beliau berharap lebih banyak pasukan tampil menyertai edisi akan datang bagi memastikan peluang pembangunan dapat dinikmati lebih ramai pemain wanita di seluruh negara.
“Selepas ini, kita berharap lebih banyak pasukan akan tampil menyertai LWN kerana matlamat utama kita adalah untuk menyediakan platform yang lebih luas bagi mencungkil bakat-bakat baharu dan melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang berpotensi menyarung jersi skuad kebangsaan.
“LWN juga mempunyai kepentingan yang besar kerana pasukan yang muncul juara akan membawa cabaran dan nama Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Wanita (AWCL),” ujarnya yang hadir menyaksikan perlawanan akhir LWN 2026 antara Selangor FC dan Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad lalu.
Ab Ghani berkata, pasukan yang bersaing dalam LWN bukan sahaja perlu meningkatkan mutu permainan di peringkat domestik, malah perlu memiliki kemampuan untuk mencabar kelab dari negara lain apabila beraksi di pentas Asia.
“Ini memerlukan setiap pasukan terus meningkatkan standard permainan, memperkukuh pembangunan pemain serta memastikan persediaan yang rapi supaya wakil negara mampu memberikan saingan yang kompetitif apabila berhadapan pasukan-pasukan dari negara lain,” jelas Ghani. – UTUSAN











