Belum berkahwin juga satu rezeki - Shiha Zikir - Utusan Malaysia

Belum berkahwin juga satu rezeki – Shiha Zikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:Penyanyi, Shiha Zikir,39, menyifatkan status dirinya yang masih belum mendirikan rumah tangga sebagai satu rezeki kerana berpeluang meluangkan lebih banyak masa bersama ibu, selain menjaganya dengan sebaik mungkin.

Menurut Shiha, dia tidak pernah menganggap soal jodoh sebagai sesuatu yang perlu dikesali, sebaliknya melihat keadaan itu daripada sudut positif kerana masih mempunyai kesempatan untuk memberikan sepenuh perhatian kepada insan tersayang.

Katanya, meskipun mendirikan rumah tangga merupakan impian setiap wanita, dia percaya setiap perkara sudah ditentukan dan hadir pada waktu yang tepat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Shiha percaya apa yang Tuhan berikan sekarang juga merupakan rezeki. Rezeki Shiha adalah apabila Shiha masih belum berkahwin kerana dapat meluangkan lebih banyak masa dengan mak dan menjaganya sebaik mungkin.

“Bukan bermaksud apabila sudah berkahwin kita tidak boleh menjaga mak, tetapi tanggungjawab kita akan bertambah kerana perlu membahagikan masa dan perhatian kepada suami serta keluarga.

“Jadi, Shiha melihat keadaan sekarang sebagai satu rezeki yang sangat besar.

“Apabila orang kata kesian kerana Shiha belum ada rezeki berkahwin, sebenarnya Shiha melihatnya sebagai rezeki kerana belum berkahwin lagi. Kita perlu mengubah cara berfikir supaya hati lebih lapang dan percaya bahawa aturan Tuhan itu sudah cukup indah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perancangan masa depan yang mungkin terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan ibunya, Shiha berkata, setakat ini tiada perkara besar yang perlu dikorbankan atau ditunda selain pelancaran album.

Sebaliknya, dia memilih untuk menerima setiap ketentuan dengan hati terbuka, apatah lagi ibunya tidak pernah mendesak atau meletakkan tekanan terhadap dirinya.

“Shiha bersyukur kerana mak bukan seorang yang suka mendesak. Dia sangat memahami keadaan Shiha dan memberikan ruang untuk Shiha meneruskan apa yang sudah dirancang.

“Pesanannya, kalau boleh buat cepat, buatlah cepat, tetapi jangan sampai memaksa diri.

“Shiha sangat percaya setiap perkara ada masa yang tepat. Kadangkala, kalau kita terlalu tergesa-gesa sedangkan sesuatu itu belum tiba waktunya, ia tidak akan membawa makna.

“Jadi, Shiha percaya kepada aturan Tuhan dan yakin setiap perkara akan berlaku pada waktu yang terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini