GUA MUSANG: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini susulan hujan lebat melanda pagi ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, sebanyak tiga keluarga membabitkan 11 mangsa berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Batu 5 setakat pukul 9.30 pagi ini meskipun hujan sudah berhenti di kawasan tersebut.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri hingga pukul 10 pagi ini.
MetMalaysia memaklumkan, amaran cuaca itu membabitkan Kedah (Kulim dan Bandar Baharu) dan Pulau Pinang (Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah, Barat Daya dan Timur Laut).
Cuaca sama juga diramal melanda Perak (Kampar, Kinta, Kuala Kangsar, Bagan Datuk, Hulu Perak, Kerian, Larut Matang, Selama, Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak), Kelantan (Gua Musang) serta Terengganu (Kemaman dan Dungun). – UTUSAN











