Pasukan Tartaruga dan Wildcats HC membuktikan kehebatan masing-masing apabila dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan UMT Open Handball Championship 2026 yang melabuhkan tirainya di Kompleks Sukan dan Rekreasi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.
Berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober lalu, kejohanan berkenaan berjaya menghimpunkan lebih 400 pemain menerusi penyertaan 28 pasukan, melibatkan 16 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita.
Penyertaan tersebut merangkumi wakil komuniti daripada enam negeri, iaitu Terengganu, Pahang, Kelantan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor, sekali gus memperlihatkan sambutan serta daya tarikan kejohanan berkenaan dalam kalangan komuniti sukan bola baling.
Penganjuran oleh UMT Scorpions Handball Club itu turut mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Dalam saingan kategori lelaki, Tartaruga muncul juara, manakala AURA7 menduduki tempat kedua. IPGM meraih tempat ketiga, diikuti SSTBN BOYS di tempat keempat.
Bagi kategori wanita, Wildcats HC mempamerkan aksi cemerlang untuk merangkul gelaran juara, manakala Titan Ladies menduduki tempat kedua. Ahaganik HC dan Redlions Girls masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.
Di sebalik persaingan sengit di gelanggang, kejohanan ini turut menjadi medan pembuktian keupayaan mahasiswa dalam menerajui pengurusan program berskala besar yang menuntut kemahiran kepimpinan, pengurusan organisasi, komunikasi dan penyelesaian masalah.
Pengarah Program, Nur Liyana Aqilah Mohamad Asri, pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Kewangan Dengan Kepujian UMT, menyifatkan tanggungjawab mengendalikan kejohanan yang menghimpunkan lebih 400 pemain itu sebagai pengalaman cukup bermakna, khususnya dalam menguji keupayaannya mengurus pasukan kerja serta memastikan
setiap perancangan dapat direalisasikan dengan jayanya.
Menurutnya, cabaran utama sepanjang penganjuran melibatkan aspek pengurusan organisasi, penyelarasan jawatankuasa dan keperluan memastikan kelancaran pertandingan sepanjang tiga hari berlangsung.
“Alhamdulillah, walaupun terdapat pelbagai cabaran dan perkara di luar jangkaan sepanjang mengendalikan kejohanan ini, hasil kerjasama,
komitmen dan usaha seluruh jawatankuasa pelaksana serta sokongan daripada semua pihak, program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar sehingga ke penghujungnya.
“Pengalaman ini benar-benar mengajar saya bahawa mengendalikan program berskala besar bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, setiap cabaran yang dihadapi memberikan pengalaman dan pembelajaran baharu yang pastinya menjadi bekalan berguna untuk masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan penganjuran kejohanan berkenaan bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya terhasil daripada kesepaduan pasukan, semangat kerja berpasukan serta komitmen seluruh jawatankuasa pelaksana dan sukarelawan, selain sokongan rakan strategik.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Izani Mohd Zain.
Penganjuran UMT Open Handball Championship 2026 membuktikan bahawa sukan bukan sekadar medan persaingan untuk mengejar kemenangan dan menguji keupayaan fizikal, malah berperanan sebagai platform pembangunan mahasiswa yang menyeluruh.
Lebih daripada melahirkan atlet yang berdaya saing, penglibatan mahasiswa dalam merancang dan mengurus kejohanan seumpama ini memberi pendedahan secara langsung kepada dunia pengurusan sebenar, sekali gus mengasah kemahiran kepimpinan, membina keyakinan diri serta meningkatkan keupayaan bekerja dalam pasukan.
Usaha ini selari dengan komitmen UMT untuk memperkasa pembangunan bakat mahasiswa secara holistik melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah, agar graduan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki kemahiran insaniah, daya tahan dan keupayaan kepimpinan yang diperlukan untuk mendepani cabaran masa hadapan.
Sesungguhnya, kejayaan kejohanan ini bukan hanya diukur melalui pasukan yang menjulang trofi kemenangan, tetapi juga melalui pengalaman, kemahiran dan nilai kepimpinan yang berjaya dibentuk dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan melahirkan generasi pemimpin masa hadapan.-UTUSAN











