Program Multaqa Kepimpinan Siswa Masjid MADANI institusi pengajian tinggi Malaysia 2026 (MUQIM 2026) merupakan platform strategik dalam memperkasa kepimpinan mahasiswa masjid yang berteraskan ilmu, integriti dan khidmat ummah, sekali gus melahirkan generasi muda yang berkeupayaan memimpin, berakhlak mulia dan mampu mendepani cabaran semasa.

Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam membangunkan kepimpinan mahasiswa masjid di institusi pengajian tinggi, bukan sahaja dari aspek pengimarahan masjid, malah merangkumi pembangunan sahsiah, pengukuhan kerohanian, kesukarelawanan dan pembentukan jati diri mahasiswa.
Program tersebut penting dalam konteks melihat pembangunan kepimpinan mahasiswa masjid sebagai satu pelaburan penting dalam membentuk generasi pemimpin masa hadapan yang mempunyai keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kekuatan spiritual dan keupayaan menyumbang kepada masyarakat.

Masjid universiti perlu berperanan lebih luas daripada sekadar tempat pelaksanaan ibadah. Sebaliknya, masjid hendaklah menjadi pusat pembangunan insan yang menyemarakkan budaya ilmu, membentuk akhlak, mengukuhkan ukhuwah dan menyuburkan semangat khidmat kepada masyarakat.
Mahasiswa yang memimpin gerakan pengimarahan masjid perlu memahami bahawa kepimpinan bukan sekadar jawatan atau kedudukan, tetapi merupakan amanah yang menuntut keikhlasan, integriti dan kesediaan berkhidmat.
Pemimpin muda masjid perlu menjadi contoh melalui akhlak, tindakan dan keupayaan membina hubungan yang baik dengan seluruh warga kampus.
Dalam konteks ini, terdapat tiga elemen penting yang perlu menjadi asas pembentukan kepimpinan muda masjid, iaitu kepimpinan berteraskan iman, ilmu dan akhlak; kepimpinan yang kreatif serta responsif terhadap perubahan semasa, dan kepimpinan yang mengutamakan khidmat, kebersamaan serta kesejahteraan ummah.
Pemimpin mahasiswa masjid juga perlu berani meneroka pendekatan baharu bagi menarik minat generasi muda mendekati masjid.

Penggunaan teknologi digital, media sosial dan platform komunikasi moden boleh dimanfaatkan secara berhemah untuk memperluas penyampaian mesej Islam, memperkukuh jaringan mahasiswa serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program dakwah.
Pemimpin muda masjid yang berkesan bukan sekadar mampu menggerakkan program, tetapi turut mempunyai kepekaan terhadap keperluan mahasiswa dan masyarakat. , kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan kepimpinan mahasiswa masjid dilaksanakan secara tersusun dan berimpak tinggi.
Kerjasama tersebut boleh diterjemahkan melalui perkongsian ilmu dan kepakaran, latihan kepimpinan, program dakwah, aktiviti kesukarelawanan serta pertukaran amalan terbaik dalam pengurusan dan pengimarahan masjid universiti.
Program tersebut penting sebagai platform penyelarasan yang menghimpunkan institusi pengajian tinggi untuk membina jaringan kerjasama, menyelaras inisiatif pembangunan kepimpinan Islam dan memperluas peluang mahasiswa menimba pengalaman melalui program bersama.
Melalui jaringan ini, mahasiswa berpeluang belajar daripada pengalaman institusi lain, membina persahabatan merentas kampus dan mengembangkan idea yang lebih kreatif dalam memakmurkan masjid.
Pendekatan ini juga dapat mengelakkan pelaksanaan program secara terasing, sebaliknya mewujudkan gerakan pembangunan kepimpinan mahasiswa masjid yang lebih menyeluruh dan berterusan.
MUQIM 2026 diharapkan menjadi titik tolak kepada pembentukan jaringan kepimpinan muda masjid yang lebih tersusun, progresif dan berdaya saing.
Lebih penting, program tersebut perlu menghasilkan tindakan susulan yang berterusan agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada program serta inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mahasiswa dan kesejahteraan ummah.
Akhirnya, kejayaan mengimarahkan masjid universiti bukan hanya diukur melalui jumlah program yang dilaksanakan atau bilangan jemaah yang hadir, tetapi sejauh mana masjid berjaya membentuk mahasiswa yang beriman, berilmu, berintegriti dan mempunyai keprihatinan terhadap masyarakat.
Program tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof. Dr. Ts. Dr. Yatimah Alias.-UTUSAN










