SEMBELIHAN ayam merupakan satu tanggungjawab fardhu kifayah bagi kalangan masyarakat Islam untuk memastikan bekalan makanan yang dimasak halal dan suci.
Berasaskan hakikat ini, seramai 16 orang murid Islam termasuk guru bersama kalangan ibu bapa telah menghadiri Program Amali Sembelihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK Sungai Kiol, Jerantut, Rosdi Mat Diah berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada kalangan murid Islam mengenai tatacara penyembelihan haiwan ternakan berasaskan syariat Islam.
“Aktiviti ini amat signifikan bagi meningkatkan kefahaman murid mengenai konsep halal dan haram supaya menjadi panduan dalam kehidupan yang membabitkan penyediaan makanan hasil sembelihan haiwan ternakan.
“Selain guru dan murid yang beragama Islam, pihak sekolah juga mengundang kalangan ibu bapa turut sama memperoleh pengetahuan secara amali dan simulasi sembelihan yang dikendalikan oleh penceramah jemputan, Mohamad Najib Mohamad Nawi daripada SK Jerantut Jaya,” katanya di Sungai Kiol, Jerantut.
Sementara itu, Mohamad Najib memuji usaha pentadbir dan guru SK Sungai Kiol menganjurkan aktiviti fardu kifayah itu pada peringkat usia kanak-kanak dan ibu bapa.
“Bidang yang ditunjuk ajar merangkumi syarat sah penyembelih, alat sembelihan serta tatacara (adab) sembelihan haiwan berkenaan menerusi aktiviti amali dan simulasi. Kebanyakan guru, murid dan ibu bapa sangat teruja dengan pendedahan ini,” katanya.
Ujarnya, sebagai orang Islam perlu mempelajari cara penyembelihan dan kewajiban melaksanakan aktiviti dapat membantu keluarga serta komuniti setempat menyediakan daging halal sekali gus mempraktikkan amalan kebersihan dan penjagaan kesihatan. –UTUSAN











