33 pelajar, staf UiTM cawangan Perak bantu mangsa banjir

33 pelajar, staf UiTM cawangan Perak bantu mangsa banjir

Para pensyarah mahasiswa dan kakitangan UiTM Perak membersihkan kediaman penduduk pasca banjir di Pulau Pangkor, Perak baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 33 pelajar dan staf Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak turun padang membantu penduduk Kampung Sungai Pinang Besar, di sini membersihkan kediaman yang terjejas akibat banjir menerusi misi pasca Banjir Pulau Pangkor, baru-baru ini.

Misi itu memberi tumpuan kepada kerja pembersihan rumah dan kawasan sekitar termasuk mengalihkan barangan, menyapu lantai, mencuci serta menjemur kelengkapan kediaman bagi membantu penduduk memulihkan keadaan rumah masing-masing.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, misi berkenaan mencerminkan peranan universiti dalam membentuk mahasiswa yang prihatin, bertanggungjawab dan bersedia berkhidmat kepada masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, penglibatan secara langsung dalam misi kemasyarakatan memberi peluang kepada pelajar menghayati nilai empati, mengukuhkan kerjasama berpasukan serta memahami cabaran yang dihadapi mangsa banjir.

Pengarah Pusat Kesatria dan Kokurikulum (PKeKO) UiTM, Datuk Dr. Hasrol Jono berkata, kerjasama pelajar dan staf menyerlahkan komitmen warga universiti dalam menjayakan khidmat komuniti, manakala bendera UiTM yang dibawa sepanjang misi melambangkan identiti serta semangat kebersamaan pasukan.

Bagi operasi hari pertama pada 19 Oktober, pasukan berkenaan memasuki jeti pada pukul 10.30 pagi, manakala waktu keluar jeti dijadualkan pada pukul 5.30 petang dengan tumpuan bantuan di Kampung Sungai Pinang Besar.

Misi itu turut mendapat sokongan dan penyelarasan pihak pengurusan UiTM Cawangan Perak, termasuk Rektornya, Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim; Penolong Rektor Kampus Tapah, Dr. Ahmad Zoolhelmi Alias; serta Penolong Pendaftar Kanan (Kokurikulum) Kampus Seri Iskandar, Hadijah binti Salleh (KEST), bagi memastikan pelajar dapat menyumbangkan tenaga membantu penduduk terjejas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini