PETALING JAYA: Pendidikan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara selamat, beretika dan bertanggungjawab akan diberi penekanan menerusi pelaksanaan kurikulum baharu bagi murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu mulai tahun 2027.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kurikulum itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid mengenai kemahiran digital, malah membimbing mereka menggunakan aplikasi serta pelbagai platform teknologi dengan selamat.
Menurut beliau, murid perlu dididik supaya tidak sekadar bergantung kepada AI untuk mendapatkan jawapan, sebaliknya mampu mengemukakan soalan yang lebih baik dan menggunakan teknologi berkenaan untuk meningkatkan keupayaan berfikir.
“Kita mahu anak-anak bukan sekadar bergantung kepada AI untuk mendapatkan jawapan, sebaliknya belajar mengemukakan soalan yang lebih baik.
“Jadi, kurikulum baharu Tingkatan Satu yang akan dilaksanakan tahun depan memberi penekanan khusus kepada bagaimana murid menggunakan pelbagai aplikasi dan platform digital dengan selamat, selain memperkukuh kemahiran mereka dalam bidang berkenaan,” katanya pada Majlis Penyerahan Portal Sekolahku oleh Kementerian Digital kepada Kementerian Pendidikan di Sekolah Kebangsaan Damansara Utama, di sini semalam.
Hadir sama, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Hashim Wan Rahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar.
Jumaat lalu, di Dewan Rakyat, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan asas AI dalam mata pelajaran Teknologi dan Digital di sekolah rendah menerusi Kurikulum Persekolahan 2027.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Merbok, Mohd. Nazri Abu Hassan (PN) mengenai perancangan mengintegrasikan literasi AI dalam silibus sekolah menerusi Panduan Literasi AI.
Usaha itu, katanya, turut merangkumi latihan guru, penyediaan kemudahan digital dan pembangunan bakat murid.
Pendedahan awal AI perlu disertai panduan penggunaan secara selamat dan beretika, manakala di peringkat sekolah menengah, pembelajaran itu akan diperkukuh menerusi mata pelajaran berkaitan.
Murid juga akan dilatih menyemak fakta, mempersoalkan jawapan meragukan dan membuat pertimbangan sewajarnya ketika menggunakan AI.
Sementara itu, Fadhlina berkata, penguasaan kemahiran digital perlu bergerak seiring dengan penerapan nilai etika dan tanggungjawab bagi memastikan murid tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi yang semakin berkembang.
Katanya, pendedahan itu penting bagi membolehkan murid menilai maklumat yang diperoleh, selain memahami kaedah menggunakan teknologi AI secara bijak dan selamat.
“Mudah-mudahan, usaha dilaksanakan mulai tahun depan akan memberikan manfaat besar kepada seluruh warga sekolah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi membantu usaha penambahbaikan dan pembangunan sekolah, termasuk menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
Katanya, sokongan kewangan itu diharap dapat menjadikan kawasan sekolah lebih menarik dan membantu murid mengembangkan potensi masing-masing.
Beliau turut menggalakkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengemukakan permohonan bantuan penyelenggaraan sekolah menerusi pautan yang disediakan.
Maklumat lanjut mengenai permohonan itu boleh diperoleh melalui laman web dan platform media sosial berkaitan sebagai sebahagian usaha kerajaan memastikan kemudahan sekolah sentiasa terpelihara. – UTUSAN











