Kisah komunis dan sejarah 100 tahun SK Bekor

Kisah komunis dan sejarah 100 tahun SK Bekor

KEADAAN terkini SK Bekor di Kuala Kangsar, Perak yang kaya dengan sejarah selepas kewujudannya sejak 100 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah seorang guru terpaksa terjun ke dalam Sungai Perak untuk menyelamatkan diri daripada serangan komunis merupakan antara detik yang tersemat dalam lipatan 100 tahun sejarah Sekolah Kebangsaan (SK) Bekor di Kampung Bekor, Kuala Kangsar.

Keadaan cemas itu dialami oleh Cikgu Ahmad Monak pada 15 Januari 1944 kerana difahamkan dia enggan menyertai gerakan bersenjata.

Kisah tersebut boleh dibaca menerusi pameran Terowong Masa yang disediakan di SK Bekor, sempena sambutan 100 tahun sekolah itu baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekolah itu dibangunkan tahun 1926 dengan nama asalnya, Sekolah Melayu Bekor, yang pada mulanya hanya merupakan sebuah bangsal beratapkan rumbia dan berdinding buluh.

Lokasinya terletak di penghujung daerah Kuala Kangsar, bersebelahan Sungai Perak dan tidak jauh dari tempat serangan pengganas komunis pada Mac 1946 yang mengorbankan puluhan nyawa penduduk setempat.

Malah dikatakan, sekolah itu juga pernah dijadikan markas oleh tentera Bintang Tiga ketika bersengketa dengan pihak Jepun di Tanah Melayu.

Sambutan yang diadakan pada malam 15 September lalu mengembalikan nostalgia penduduk setempat terhadap sekolah itu, terutama dalam kalangan alumni.

Hampir 100 alumni dan mereka yang mempunyai pertalian dengan sekolah itu hadir termasuk Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Adzman Talib yang pernah bersekolah di SK Bekor pada lewat 1960-an.

 

 

Bagi Adzman, antara kenangan manisnya di sekolah tersebut ialah bersama rakan-rakan menggunakan perigi yang berada dalam kawasan sekolah untuk mendapatkan bekalan air bagi pelbagai tujuan.

Tambahnya, pengalaman menanam pelbagai jenis sayuran menerusi mata pelajaran pertanian pada waktu itu juga kekal dalam ingatan beliau.

“(Tempoh) 100 tahun merupakan satu tempoh yang panjang. Sepanjang jangka masa ini dapat dilihat pelbagai usaha dilakukan untuk membangunkan sistem pendidikan di Malaysia, termasuk dalam konteks SK Bekor,” katanya.
Beberapa alumni lain yang ditemu bual turut mengimbau kembali keadaan sekolah tersebut yang disifatkan mereka serba kekurangan pada tahun-tahun terawal selepas negara mencapai kemerdekaan dan kini kemudahan yang disediakan jauh bertambah maju.
Sekolah itu mendapat bekalan elektrik dan air pada hujung 1980-an dan selang beberapa tahun murid daripada masyarakat Orang Asli ditempatkan di SK Bekor berikutan penutupan sekolah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di kampung tersebut.
Majlis sambutan 100 tahun SK Bekor itu dijayakan bersama pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni.

Usaha itu dipengerusikan oleh Guru Besar sekolah, Mohd. Rizallmin Hasan, serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Shahrul Nizam Zainal Abidin selaku penyelaras yang telah membuat perancangan selama lebih dua tahun.

Menurut beliau, pencapaian usia 10 dekad itu merupakan peluang sekolah untuk menarik perhatian alumni dan komuniti setempat kepada sekolah yang berada di perkampungan terletak jauh dari pusat bandar Kuala Kangsar.

“Sambutan ini penting untuk menarik semula kehadiran bekas pelajar serta komuniti setempat. Sokongan mereka amat diperlukan dan penting agar banyak program sekolah boleh digerakkan. Mereka boleh melihat sendiri kemajuan prasarana dan murid sekolah,” katanya.

Katanya, pameran sejarah yang disediakan di sekolah itu penting untuk tatapan semua, terutamanya generasi muda, agar mereka mengetahui rentetan sejarah negara khususnya Kampung Bekor.

Ketika ini, bilangan murid di SK Bekor merangkumi peringkat prasekolah, Tahun Satu hingga Enam serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) berjumlah 133 orang.

SK Bekor pada masa ini berstatus sekolah kurang murid dan majoriti daripada murid terdiri daripada masyarakat Orang Asli.

Program sambutan itu dilihat berjaya apabila ramai penduduk tempatan yang membesar di

Kampung Bekor dan pekan Manong terkejut apabila mengetahui usia sekolah tersebut telah mencecah satu abad.

Sekolah itu merentasi sejarah tanah air yang melalui zaman penjajahan British, kedatangan Jepun, serangan komunis, kemerdekaan serta proses kemajuan sistem pendidikan negara.

 

 

–UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini