Seramai 13 mahasiswa tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diberi tanggungjawab membangunkan 10 projek berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menyokong transformasi digital dan meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Johor.
Projek yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada Projek Sarjana Muda (PSM) itu berasaskan isu dan keperluan operasi sebenar agensi kerajaan, sekali gus membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan kepakaran teknologi dalam menghasilkan penyelesaian digital yang praktikal dan berimpak.
Inisiatif berkenaan melibatkan empat kluster agensi utama, iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (SUK), Pejabat Daerah dan Tanah Pontian, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) serta Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS).
Antara sistem yang dibangunkan termasuklah J-ZAKAT, J-CLAIM, SmartHR Johor, AI Disaster Intelligence System (ADIS) dan Oh, My Asset.
Pembangunan projek itu dilaksanakan oleh FSKTM dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai sebahagian daripada usaha menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan memperkukuh penggunaan teknologi AI dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Bagi merealisasikan inisiatif tersebut, FSKTM dan MPC menganjurkan bengkel tersebut yang dirasmikan oleh Pengarah MPC, Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh.
Pelaksanaan projek turut mendapat bimbingan 11 perunding teknikal FSKTM yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhaini Othman dan Profesor Madya Dr. Nureize Arbaiy, selain bimbingan industri oleh Nur Arina Ramlee daripada Cybersolution Technologies Sdn. Bhd. manakala pasukan akademik yang terlibat turut merangkumi penyelia utama iaitu Dr. Mohamad Firdaus Ab. Aziz, Ts. Dr. Suziyanti Marjudi, Ts. Dr. Shuhaida Ismail dan Dr. Radiah Mohamad.
Penyelia bersama pula terdiri daripada Profesor Madya Dr. Noraini Ibrahim, Dr. Muhammad Nazim Razali, Dr. Shahdatunnaim Azmi, Dr. Norhamreeza Abdul Hamid dan Dr. Muhammad Shukri Che Lah.
Projek-projek AI tersebut kemudiannya dibawa ke Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Negeri Johor 2026, yang menyaksikan pembentangan sebanyak 39 inisiatif berteraskan AI.
Menurut Dr. Muhaini, keseluruhan inisiatif berkenaan dikenal pasti mempunyai potensi menjana penjimatan kos operasi kerajaan sehingga RM81.9 juta setahun.
Tambah beliau, usaha itu bermula dengan perbincangan strategik pada 13 Februari 2026 bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Haji Ismail Haji Abu, serta wakil dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dan industri itu mencerminkan peranan UTHM dalam memperkasa pembangunan bakat digital serta menyumbang kepakaran akademik kepada keperluan sebenar, ” ujarnya.-UTUSAN











