Polis bongkar seludup migran, 36 ditahan

Polis bongkar seludup migran, 36 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan penyeludupan migran menggunakan laluan tidak diwartakan terbongkar menerusi Ops Pintas Som di sekitar daerah Sabak Bernam, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) itu membawa kepada penahanan 36 individu.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk 25 migran warga Indonesia, dua kanak-kanak serta beberapa individu yang dipercayai berperanan sebagai transporter.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan migran masuk dan keluar Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.

“Mereka mengenakan bayaran tertentu bagi setiap migran, termasuk transporter untuk perjalanan ke lokasi di Lembah Klang, bergantung kepada jarak perjalanan.

“Dalam operasi itu, polis turut merampas 11 kenderaan, 13 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM4,930 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata, operasi selama dua hari bermula kelmarin itu turut membabitkan kerjasama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin serta anggota Cawangan D6.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit termasuk pihak yang berperanan sebagai pengendali dan penyelaras aktiviti penyeludupan migran,” katanya.

Tambahnya, polis akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran yang menggunakan laluan tidak diwartakan demi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara terus terpelihara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini