PETALING JAYA: Kuliah secara hibrid selama empat hari akan diberikan kepada siswa guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) sempena sambutan Deepavali.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bertujuan membolehkan siswa pulang meraikannya bersama keluarga.
Katanya, kemudahan itu disediakan dari 9 hingga 12 November bagi Kumpulan A, manakala Kumpulan B pada 10 hingga 13 November, mengambil kira hasrat siswa guru yang menuntut jauh dari kampung halaman untuk menyambut perayaan bersama keluarga.
“Siswa guru yang pulang ke kampung masih berpeluang mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian. IPG Kampus juga boleh memohon cuti tambahan dan cuti berganti sekiranya terdapat keperluan.
“Kita mahu memastikan pembelajaran terus berjalan dengan baik tanpa mengabaikan kepentingan masa bersama keluarga,” katanya di Facebook hari ini. – UTUSAN











