KUALA LUMPUR: Pengasas rangkaian restoran BananaBro dan Boat Noodle, Tony Lim Chin Hau, meninggal dunia pada usia 47 tahun.
Berita pemergian usahawan industri makanan dan minuman (F&B) itu diumumkan menerusi media sosial rasmi kedua-dua jenama berkenaan, hari ini.
Punca kematian mendiang tidak didedahkan.
BananaBro dalam kenyataannya menyifatkan Chin Hau sebagai penggerak utama di sebalik jenama berkenaan, selain memiliki impian besar untuk membawa budaya menikmati hidangan beralaskan daun pisang Malaysia ke persada dunia.
Menurutnya, Chin Hau bukan sekadar menyumbangkan visi, malah mencurahkan sepenuh hati kepada warga kerja dan perjalanan perniagaan yang dipercayainya.
“Walaupun beliau tidak lagi bersama kami, impiannya akan terus hidup dalam setiap hidangan beralaskan daun pisang yang kami sajikan dan setiap kehidupan yang pernah disentuhnya.
“Terima kasih, Tony. Semangat anda menginspirasi kami, kemurahan hati anda menyentuh jiwa kami dan legasi anda akan terus hidup,” katanya.
Boat Noodle pula mengenang Chin Hau sebagai seorang pemimpi, pejuang, pemimpin dan mentor yang sentiasa percaya terhadap potensi setiap individu dalam pasukannya.
Menurut rangkaian restoran itu, Chin Hau membangunkan Boat Noodle dengan penuh semangat dan keazaman, selain percaya setiap cabaran mampu diatasi menerusi penambahbaikan berterusan.
Prinsip ‘Together We Grow’ atau ‘Bersama Kita Berkembang’ bukan sekadar slogan baginya, sebaliknya menjadi pegangan sepanjang perjalanan membangunkan perniagaan dan membimbing warga kerja.
Boat Noodle turut berikrar untuk meneruskan legasi mendiang dengan terus berkembang, melakukan penambahbaikan dan mempertahankan nilai yang diterapkannya.
Chin Hau memulakan Boat Noodle pada 2014 selepas melihat potensi memperkenalkan hidangan mi bot Thailand dalam versi halal kepada masyarakat Malaysia.
Idea itu tercetus selepas beliau menikmati hidangan berkenaan ketika berkunjung ke Bangkok sebelum membuka cawangan pertama Boat Noodle di Empire Damansara.
Rangkaian itu mencuri perhatian menerusi konsep hidangan mi dalam mangkuk kecil, selain budaya pelanggan menyusun mangkuk kosong selepas selesai menikmati makanan.
Boat Noodle kini dilaporkan mempunyai 49 cawangan di Malaysia, selain pernah mengembangkan operasinya ke beberapa pasaran serantau.
Pada 2018, Chin Hau mengasaskan BananaBro bagi memperkenalkan hidangan nasi daun pisang menerusi konsep lebih moden, mudah didekati dan sesuai untuk pelanggan daripada pelbagai latar belakang.
BananaBro kemudian berkembang kepada lebih 40 cawangan di seluruh negara. Dalam tempoh lima tahun pertama operasinya, jenama itu dilaporkan mencatatkan pendapatan kira-kira RM70 juta pada 2023.
Sebelum menceburi industri F&B, Chin Hau yang memiliki latar belakang dalam bidang kejuruteraan automotif pernah mengusahakan bengkel kereta sebelum menyertai perniagaan logistik keluarganya pada 2005.
Beliau turut membantu adiknya membangunkan francais minuman Chatime di Kemboja sebelum meneroka perniagaan restoran menerusi Boat Noodle.
Pemergian Chin Hau meninggalkan legasi besar dalam industri F&B tempatan menerusi usahanya memperkenalkan makanan daripada latar budaya berbeza kepada kelompok pelanggan lebih luas.











