MELAKA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menghargai cadangan menamakannya sebagai calon Ketua Menteri, sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Bagaimanapun, katanya, keutamaannya ketika ini adalah memastikan kemenangan calon-calon PH terlebih dahulu.
“Pandangan itu kita hargai tetapi fokus kita hari ini adalah untuk pastikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita ini, kita menang.
“Ini kerana kita tahu bahawa proses pembentukan kerajaan itu banyak bergantung kepada jumlah kerusi yang kita menang,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini, hari ini.
Menurut Adly, tumpuan PH sepanjang tempoh berkempen adalah untuk memastikan calon-calon mendapat sokongan pengundi.
Katanya, PH perlu memanfaatkan tempoh kempen untuk mencapai kemenangan kerana keputusan terletak di tangan rakyat Melaka.
“Jadi saya fikir apa pun ketetapan kita, fokus ADUN-ADUN kita, kita minta di 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) utama, di samping 18 DUN fokus kita.
“Saya fikir tugas kita 14 hari ini untuk memenangkan ADUN-ADUN kita,” katanya.
Semalam, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dicadang untuk dinamakan sebagai calon Ketua Menteri, sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri pada 14 November ini.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Adly yang juga bekas Ketua Menteri merupakan calon terbaik untuk menerajui pentadbiran negeri. – UTUSAN











