ALOR SETAR: Cadangan memanjangkan jeti penumpang Kuala Kedah ke arah laut bagi mengatasi masalah mendapan berulang tidak dapat dilaksanakan buat masa ini berikutan kekangan fizikal dan kos terlalu tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lokasi jeti berkenaan juga tidak boleh dipindahkan kerana ia merupakan kawasan asal yang kini menempatkan bangunan terminal baharu selain keperluan kerja penambakan laut.
Menurutnya, kerja pengorekan mendapan akan terus dilaksanakan secara berkala pada setiap dua tahun bagi memastikan masalah itu tidak menjejaskan operasi harian feri yang menghubungkan Langkawi dan tanah besar.
“Pertamanya, ada kekangan dari segi fizikal sebab lokasi itu memang lokasi asal dan kalau kita nak (panjangkan) ke laut itu, kosnya terlalu tinggi. Jadi kita cuba cari jalan penyelesaian yang jangka panjang, bagaimana menyelesaikan isu mendapan ini.
“Memang pengorekan dibuat secara berkala, setiap dua tahun untuk memastikan masalah mendapan tidak mengganggu operasi. Kita akan cuba mencari penyelesaian jangka panjang berkenaan dengan isu ini tetapi lokasi memang tak boleh tukar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Anthony Loke bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah mengadakan lawatan ke projek naik taraf Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kekerapan perjalanan feri Kuala Kedah-Langkawi diharap dapat ditingkatkan selepas terminal baharu siap.
Katanya, penambahan perjalanan bergantung kepada keputusan operator, namun kerajaan menggalakkan syarikat sedia ada atau operator baharu menyediakan lebih banyak perkhidmatan.
“Pengurangan kekerapan perjalanan ketika ini dipengaruhi beberapa faktor termasuk kos operasi, jumlah penumpang dan tempoh operasi.
“Apabila terminal ini siap nanti, sudah tentu kita harap operasi dapat ditambah dan frekuensi dapat ditambah juga,” katanya.
Menurut Anthony Loke, terminal berkenaan mampu menampung sehingga 3,000 penumpang sehari berbanding kira-kira 800 penumpang ketika ini, serta membolehkan tiga feri penumpang berkapasiti besar berlabuh pada satu masa.
Ujar beliau, projek meroboh, membina dan menaik taraf terminal penumpang, kargo dan roll-on roll-off (RORO) itu bermula pada 2024 dengan kos sebanyak RM245 juta.
“Projek berdepan cabaran termasuk kerja merobohkan terminal lama, menyediakan terminal sementara, memindahkan beberapa jeti nelayan dengan memastikan operasi feri ke Langkawi tidak terhenti.
“Kemajuan fizikal projek itu sudah melebihi 50 peratus dan beliau berharap ia dapat disiapkan pada suku ketiga tahun depan berbanding sasaran pada akhir 2027,” katanya. – UTUSAN











