PETALING JAYA: Pelantikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang baharu mesti dibuat mengikut merit, integriti dan pengalaman operasi selain ditapis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, pihaknya secara prinsip menghormati kenyataan Menteri Dalam Negeri yang pengganti Ketua Pengarah AKPS akan dilantik dalam kalangan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
”Namun, pelantikan ini perlu berasaskan merit, integriti, pengalaman operasi dan keupayaan melaksanakan reformasi institusi, bukan semata-mata kekananan pangkat atau kesesuaian pentadbiran.
”AKPS adalah agensi strategik yang berdepan risiko penyeludupan, rasuah rentas sempadan, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan pembabitan sindiket jenayah terancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak kerajaan sewajarnya mengemukakan calon berdasarkan kelayakan dan rekod perkhidmatan yang boleh dinilai secara objektif.
”MCW juga mencadangkan agar calon yang dikenal pasti menjalani tapisan integriti SPRM serta penilaian kesesuaian kepimpinan sebelum pelantikan dimuktamadkan.
”AKPS tidak boleh menjadi tempat penempatan biasa pegawai kanan. Ia mesti dipimpin oleh individu yang mampu membina budaya integriti dan memastikan pintu sempadan negara tidak dikompromi oleh rasuah atau kepentingan sindiket,” katanya.
Menurutnya, Ketua Pengarah baharu juga perlu memiliki rekod integriti yang meyakinkan, termasuk melalui tapisan keselamatan yang menyeluruh.
Katanya, pengalaman dari aspek penguatkuasaan dan risikan, khususnya dalam menangani jenayah terancang serta operasi rentas sempadan yang juga ciri penting yang perlu dimiliki.
”Selain itu, calon perlu mempunyai keberanian membuat keputusan, termasuk mengambil tindakan terhadap pegawai sendiri sekiranya terdapat bukti salah laku.
”Mereka juga perlu memiliki keupayaan memimpin organisasi pelbagai agensi, dengan memahami fungsi imigresen, kastam, keselamatan dan penguatkuasaan sempadan,” katanya.
Jais berkata, pemimpin yang dilantik perlu mempunyai komitmen terhadap akauntabiliti, termasuk pengawasan bebas, perlindungan pemberi maklumat dan penggunaan teknologi bagi mengurangkan ruang rasuah. – UTUSAN











