Jason Mraz ubati kerinduan 8,000 peminat selepas tujuh tahun - Utusan Malaysia

Jason Mraz ubati kerinduan 8,000 peminat selepas tujuh tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun menanti, kerinduan kira-kira 8,000 peminat terhadap penyanyi dan komposer antarabangsa, Jason Mraz, akhirnya terubat menerusi konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Konsert yang dipersembahkan oleh Prudential Malaysia dan dianjurkan Zues Event itu menyaksikan Jason menghiburkan peminat menerusi 20 lagu yang menyentuh pelbagai sisi kehidupan, termasuk percintaan, persahabatan dan mesej positif.

Membuka persembahan dengan lagu You and I Both, penyanyi berkenaan menyapa penonton dengan penuh mesra menerusi ucapan, “Apa khabar, Malaysia? It’s really good to be back,” sebelum meneruskan persembahan dengan Long Drive, Livin’ in the Moment dan Let’s See What the Night Might Do.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sepanjang konsert, Jason membuktikan keupayaannya sebagai penghibur yang bukan sahaja bergantung pada kekuatan vokal, malah turut menyerlah menerusi petikan gitar serta keakraban ketika berinteraksi dengan penonton.

Antara lagu lain yang dipersembahkan termasuk Make It Mine, I Feel Like Sweating, Details in the Fabric, Remedy, 3 Things, Love Someone, Unfold, Best Friend, Beautiful Mess, Song for a Friend, 93 Million Miles, Have It All dan Lucky.

Lebih menarik, Jason tidak melepaskan peluang mengucapkan “terima kasih” dalam bahasa Malaysia setiap kali berinteraksi dengan peminat, sekali gus mengundang sorakan dan senyuman penonton.

Sikap mesra itu memperlihatkan penghargaan penyanyi berkenaan terhadap sokongan peminat tempatan yang memenuhi ruang konsert bagi menyaksikan kemunculannya semula di negara ini.

Berkongsi cerita mengenai karya muziknya, Jason mengakui kebanyakan lagu ciptaannya berkisar tentang cinta, perkara yang bermain dalam fikirannya serta mesej positif yang ingin disampaikan kepada pendengar.

Menurutnya, meskipun dia sering menggunakan rangkaian kord yang sama dalam penghasilan lagu, setiap karya tetap mempunyai identiti tersendiri menerusi perbezaan melodi dan penceritaan.

Dari segi teknikal, sistem audio yang seimbang turut membantu memastikan kejelasan vokal Jason, petikan gitar serta instrumen pengiring dapat dinikmati dengan baik sepanjang persembahan.

Suasana konsert bertambah mengesankan menjelang penghujung acara apabila lagu I Won’t Give Up dipersembahkan, sekali gus mengundang ribuan penonton menyanyi bersama.

Lagu yang sarat dengan mesej ketabahan dan kesetiaan itu menjadi antara detik paling menyentuh perasaan, memperlihatkan hubungan istimewa antara Jason dengan peminatnya.

Persembahan diteruskan dengan No Plans sebelum lagu Yours menutup rangkaian 20 lagu pada malam berkenaan.

Menerusi gabungan vokal, petikan gitar dan karya yang dekat dengan kehidupan seharian, Jason bukan sahaja menghidupkan kembali nostalgia peminat, malah mencipta kenangan baharu buat ribuan penonton yang hadir.

Sementara itu, Pengarah Zues Event, Jeffery Chin, berkata pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan serta sokongan luar biasa yang diberikan terhadap penganjuran konsert berkenaan.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada penaja, rakan strategik, artis, kru dan seluruh pasukan produksi yang memainkan peranan dalam menjayakan persembahan tersebut.

Katanya, kejayaan penganjuran konsert itu menjadi permulaan kepada usaha membawa lebih banyak persembahan menarik kepada peminat muzik tempatan pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini