PETALING JAYA: Lama tidak muncul dalam industri hiburan, penyanyi Faizal Ramly menegaskan dia tidak pernah berhenti menyanyi sejak menjuarai program Akademi Fantasia musim keempat (AF4) pada 2006.
Menurut Faizal, dia masih aktif menerima tawaran persembahan, namun kebanyakan aktiviti seninya tertumpu di Terengganu yang menjadi tempat tinggalnya selama lebih sedekad.
“Sebenarnya, saya tidak pernah berhenti menyanyi. Saya masih aktif membuat persembahan, cuma kebanyakannya di Terengganu.
“Selepas tahun 2013, saya pulang dan terus menetap di Terengganu lebih 10 tahun sebelum berpindah semula ke Kuala Lumpur kira-kira empat bulan lalu.
“Mungkin itu antara faktor saya kurang muncul di hadapan media dan khalayak ramai sehingga ada yang tertanya-tanya ke mana saya menghilang selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal mengakui tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bidang nyanyian sebagai sumber pendapatan, sebaliknya melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk menampung keluarga.
“Kalau dahulu, saya hanya menunggu tawaran persembahan, tetapi sekarang saya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bidang nyanyian.
“Saya pernah menjual penapis air dan turun padang mengedarkan risalah kepada orang ramai. Saya sudah melalui semua pengalaman itu dan bagi saya, tiada apa yang perlu dimalukan.
“Kenapa kita perlu malu untuk mencari rezeki? Kalau setiap hari ada tawaran menyanyi, mungkin lain ceritanya. Tetapi hakikatnya, kita perlu mencari inisiatif pekerjaan lain untuk meneruskan kehidupan,” kongsinya.
Sementara itu, Faizal menyifatkan penyertaannya dalam program Gegar Vaganza Fantasia (GVF) kali ini sebagai peluang keemasan untuk kembali meraih perhatian peminat selepas sekian lama menyepi daripada arus perdana industri hiburan.
“Apabila mendapat tawaran itu, saya terus terfikir bahawa inilah peluang besar untuk saya membuat kemunculan semula dalam industri hiburan. Saya melihat GV sebagai satu platform yang memudahkan orang ramai mengenali saya semula.
“Kalau sekarang saya membuat siaran langsung setiap hari, bukan semua orang akan menontonnya. Tetapi apabila menyertai GV, saya berpeluang muncul di televisyen setiap minggu dan ditonton oleh lebih ramai orang.
“Bagi saya, peluang menyertai GV ini merupakan satu rahmat dan saya sangat bersyukur. Saya tidak kisah bagaimana perjalanan saya dalam pertandingan ini nanti. Apa yang penting, saya akan berusaha mempersiapkan diri sebaik mungkin.
“Peluang seperti ini mungkin tidak akan datang lagi. Bila lagi saya berpeluang berada dalam satu pertandingan bersama penyanyi yang mempunyai kekuatan masing-masing?” ujarnya.
Gegar Vaganza Fantasia yang turut menampilkan bekas juara AF yang lain seperti Vince, Zahid, Mawi, Mila, Stacy, Faizul, Syahir dan Firman itu akan mula membuka tirai pada 8 November ini. – UTUSAN











