SETIU: Seramai 383 bakal graduan Kolej Universiti Bestari (UCB) bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-9 di Raia Hotel and Convention Centre, Kuala Nerus dekat sini, pada 14 November ini.
Naib Canselornya Prof. Dr. Mustapha Ismail berkata, majlis berkenaan adalah pengiktirafan terhadap komitmen dan kesungguhan pelajar yang menamatkan pengajian walaupun berdepan kekangan kewangan serta latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
Katanya, UCB yang ditubuhkan sejak 24 tahun lalu sentiasa memberi penekanan kepada usaha membuka akses pendidikan tinggi kepada golongan miskin dan anak yatim yang berdepan kesukaran mendapatkan peluang melanjutkan pengajian.
“UCB mahu memberi peluang seluas-luasnya kepada pelajar yang kurang bernasib baik termasuk mereka yang kehilangan ibu bapa supaya mereka juga berpeluang menimba ilmu dan memperoleh kelayakan akademik seperti pelajar lain.
“Kita mahu memastikan latar belakang keluarga dan kekangan kewangan bukan penghalang untuk mereka mencapai kejayaan dalam pendidikan,” katanya sempena pengumuman Majlis Konvokesyen ke-9 UCB di sini, hari ini. – UTUSAN











